Gajah Borneo diklasifikasikan sebagai ‘Terancam’ dalam Senarai Merah IUCN

gajah-borneo.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Gajah Borneo atau Elephas maximus borneensis diklasifikasikan sebagai ‘Terancam’ dalam Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam (IUCN) disebabkan populasinya yang kecil dan semakin berkurangan.

Pakar gajah Tabung Hidupan Liar Sedunia Malaysia (WWF-Malaysia) Dr Cheryl Cheah berkata situasi ini menimbulkan risiko kepupusan yang sangat tinggi di habitat liar bagi gajah yang berasal dari Pulau Borneo khususnya Sabah ini.

“Mereka diklasifikasikan sebagai ‘Terancam’ menggariskan pentingnya tindakan pemuliharaan secara kolaboratif seperti pengurusan konflik antara manusia dan gajah serta mencegah kehilangan dan pemecahan habitat seterusnya.

“Kedua-duanya adalah penting untuk menjaga kewujudan mereka pada masa depan,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan oleh WWF-Malaysia hari ini.

Cheah berkata sebagai unit berkembang secara beransur-ansur yang signifikan, gajah Borneo berbeza secara morfologi dan genetik daripada gajah Asia di tanah besar, menjadikannya unik di Pulau Borneo dan sebahagian daripada warisan semula jadi kita.

Gajah Borneo yang juga dikenali sebagai gajah pygmy Borneo, subspesies kepada gajah Asia atau Elephas maximus, dibezakan melalui saiznya yang lebih kecil dengan gajah jantan membesar sehingga ketinggian kira-kira 2.5 meter berbanding 3 meter di tanah besar.

Gajah Asia itu diisytiharkan sebagai Terancam dalam Senarai Merah IUCN mengikut penilaian pada 18 Sept 2019 dan diterbitkan pada 2020; manakala subspesiesnya, gajah Borneo diisytiharkan sebagai Terancam dalam Senarai Merah IUCN menurut penilaian pada 17 November tahun lepas dan diterbitkan tahun ini.

Sementara itu, IUCN menyatakan bahawa terdapat 1,000 ekor jumlah keseluruhan populasi gajah Borneo, dengan kira-kira 400 darinya adalah dewasa yang boleh membiak.

“Kira-kira 60 peratus daripada habitat hutan gajah Borneo telah hilang sejak 40 tahun lalu, terutamanya disebabkan oleh pembalakan dan penanaman kelapa sawit secara komersial.

“Kedua-dua kerajaan, Malaysia dan Indonesia, mempunyai pelan tindakan untuk pemuliharaan gajah Borneo, tetapi mereka menghadapi banyak cabaran.

“Senarai Merah IUCN kini memberikan pengiktirafan antarabangsa terhadap gajah Borneo sebagai subspesies unik dan Terancam, memberikan sebab yang kuat untuk pemuliharaan mereka,” kata kenyataan IUCN.

IUCN berkata untuk menjamin masa depan haiwan unik ini, adalah penting untuk melindungi dan mengembangkan habitat hutan mereka, menyokong komuniti tempatan dalam meminimumkan konflik dengan gajah dan menguatkuasakan langkah mencegah pemburuan haram. – BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top