TULID: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Tulid menerima kira-kira 117 borang kemasukan keahlian daripada Ketua -Ketua Cawangan Gagasan Rakyat bagi cawangan Kampung Lanas Station dan Alab Lanas.
Penyerahan borang yang diadakan di Dewan kampung Alab Lanas pada Ahad di sini itu diterima Timbalan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Tulid Jehan Osman Ongkomog.
Seramai 63 bekas ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyertai Gagasan Rakyat Tulid, manakala 54 orang lagi adalah bekas ahli Parti Warisan Malaysia (Warisan).
Borang-borang keahlian tersebut diserahkan sendiri oleh Ketua Cawangan Kampung Lanas Station Primus Saduai dan Ketua Cawangan Alab Lanas Sadampal bin Taran.
Primus dan Sadampal berkata ,kemasukan pihaknya bersama ahli-ahli lain ke dalam Gagasan Rakyat adalah satu isyarat baharu bahawa parti tempatan itu semakin mendapat tempat di hati rakyat khususnya di Tulid termasuk negeri secara keseluruhannya.
Kemasukan itu juga menunjukkan bahawa mereka sangat yakin dengan perjuangan dan hala tuju parti yang sentiasa konsisten menyuarakan kepentingan serta hak-hak Sabah.
“Pada masa ini, kita memerlukan kestabilan dan perpaduan daripada semua untuk terus bergerak ke hadapan. Maka, kami yakin parti ini adalah pilihan terbaik untuk mengembalikan kestabilan yang sangat diperlukan,” ujar Primus dan Sadampal. – Penerangan Gagasan Rakyat