TAMBUNAN: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Tambunan memberi komitmen akan bekerja kuat dalam memastikan calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menang besar dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
“Ini adalah matlamat penubuhan Gagasan Rakyat di Tambunan iaitu untuk mengukuhkan kedudukan GRS di kawasan ini,” kata Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Tambunan, Dato’ Victor P. Paut.
Beliau sekali lagi menafikan tanggapan bahawa kemunculan parti itu di daerah ini mahu merampas atau mengambil alih kepimpinan Tambunan yang ada sekarang.
Katanya, sejak kemunculan dan tertubuhnya Gagasan Rakyat di Tambunan telah mengubah suasana politik yang amat ketara di mana parti itu menerima sambutan luar biasa daripada rakyat.
“Keadaan ini telah merisaukan sesetengah pihak sehingga timbul persepsi kononnya Gagasan Rakyat boleh menimbulkan perpecahan dan menjejaskan keharmonian dikalangan parti-parti komponen di Tambunan.
“Justeru, saya ingin menegaskan disini, selaku ketua bahagian Gagasan Rakyat Tambunan saya menafikan tanggapan ini kerana matlamat utama penubuhan parti ini di Tambunan adalah untuk membantu mengukuhkan kedudukan GRS Tambunan terutama sekali dalam menghadapi PRN ke 17 akan datang.
“Gagasan Rakyat mahu memastikan calon GRS menang besar dalam PRN akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Tambunan 2024, di Dewan Masyarakat Tambunan, di sini pada Ahad.
Seramai 800 perwakilan termasuk tiga sayap parti itu, pergerakan pemuda, pergerakan wanita dan pergerakan beliawanis menghadiri mesyuarat itu.
Sementara itu, Victor berkata, Gagasan Rakyat Tambunan ketika ini sudah menjangkau 9,000 keahlian selepas pelancaran `GELOMBANG MERAH’ baru-baru ini.
Katanya, jumlah keahlian ini jauh mengatasi ahli parti lain dalam parti komponen GRS Tambunan.
“Ini kerana sambutan dan sokongan rakyat terhadap Gagasan Rakyat Tambunan tidak henti-henti kerana hampir setiap hari ada sahaja rakyat Tambunan datang secara sukarela ke pejabat parti untuk mendapatkan borang permohonan ahli serta penubuhan cawangan baharu.
“Hari ini pun Gagasan Rakyat Tambunan turut meneima puluhan ahli baharu, antaranya bekas ketua wanita PBRS Tambunan, Puan Nanti Koris dan penyokongnya. Ini jelas menunjukkan keterbukaan minat mereka untuk menyertai parti ini,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru kepimpinan Gagasan Rakyat Tambunan untuk mempergiatkan lagi gerakan penambahan ahli dan penambahan penubuhan cawangan.
Beliau turut menyeru pergerakan pemuda dan pergerakan beliawanis untuk meneroka program berkaitan belia seperti sukan dan sebagainya.
“Ini bertujuan untuk menarik minat golongan belia menyertai Gagasan Rakyat, kerana belia merupakan pewaris kepimpinan di masa hadapan,” katanya.
Berita asal: Jesselton Times