Gagasan Rakyat harapan rakyat Sabah noktahkan tuntutan MA63

Amisah.jpg

Amisah (tiga kiri) dan Asly (kiri) bergambar semasa Mesyuarat Serentak Tiga Kampung di sini.

Kongsi Bersama

RANAU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) adalah parti harapan rakyat Sabah untuk menoktahkan tuntutan hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Paginatan, Datuk Amisah Yassin berkata, parti ini tidak pernah berganjak dalam usaha menuntut hak Sabah khususnya pengembalian 40 peratus hasil negeri ini yang dikutip Kerajaan Persekutuan.

“Gagasan Rakyat adalah sebuah gabungan parti tempatan baharu di Sabah yang bukan sahaja didominasi oleh pemimpin tempatan tetapi juga dipimpin oleh pejuang-pejuang politik tempatan yang berwibawa.

“Setakat ini, kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor bersama Timbalan Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Masidi Manjun sentiasa konsisten dan tegas dalam memperjuangkan hak negeri sama ada Mesyuarat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) atau dalam Mesyuarat Kabinet,” katanya.

Amisah berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Serentak Tiga Kampung iaitu Gagasan Rakyat Cawangan Lohan Ulu, Lohan Ulu Simpangan dan Dilik di sini.

Menurut Amisah, tuntutan terbabit sangat penting untuk Sabah khususnya bagi mempercepatkan proses pembangunan ekonomi terutama di kawasan luar bandar.

“Kita percaya melalui kepimpinan yang diterajui oleh Hajiji dan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim, proses merealisasikan impian Sabah untuk keluar daripada antara negeri termiskin di Malaysia berjaya diatasi sekiranya perjanjian ini ditunaikan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Cawangan Gagasan Rakyat kampung Luhan Simpangan Ulu, Asly Harun berkata, politik Sabah harus bergerak pantas dan bersatu hati seperti jiran negeri Sarawak.

“Pemimpin dan rakyat Sarawak sebulat suara memilih parti tempatan sebagai nadi penting bagi negeri mereka untuk mendapatkan hak dan keistimewaan yang sewajarnya untuk negeri itu.

“Mereka juga berjaya menandatangani Perjanjian dengan syarikat Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dalam soal cari gali, minyak dan gas negeri itu dan ini sangat menguntungkan Sarawak,” katanya.

Tambahnya, beliau berharap kerajaan negeri di bawah pentadbiran GRS tidak akan mengulangi kesilapan kerajaan lepas yang dilihat tidak serius dalam memperjuangkan hak Sabah seperti yang termaktub dalam perjanjian MA63. – Utusan Borneo

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top