KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) kini dianggotai hampir 300,000 ahli dan dijangka meningkat menjelang perhimpunan agung parti berkenaan pada November ini, kata Presidennya Datuk Seri Hajiji Noor.
Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah sehubungan itu meminta semua bahagian dan cawangan parti berkenaan untuk terus mempergiat usaha menambah ahli baharu.
“Hal ini penting supaya Gagasan Rakyat terus kuat dan kekal relevan,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi Gagasan Rakyat di sini pada Jumaat.
Beliau berkata mesyuarat berkenaan bertujuan membincangkan persediaan untuk mengadakan mesyuarat peringkat bahagian parti berkenaan.
“Mesyuarat bahagian akan bermula pada 17 Ogos ini hingga akhir September. Kita harap mesyuarat ini berjalan lancar dan kita mahu semua bahagian menyempurnakan mesyuarat masing-masing kerana mesyuarat cawangan telah pun kita telah adakan sebelum ini,” katanya.
Selain Gagasan Rakyat, GRS turut dianggotai Parti Bersatu Sabah, Parti Solidariti Tanah Airku, Parti Maju Sabah, Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu, Parti Liberal Demokratik, Parti Harapan Rakyat Sabah dan Parti Cinta Sabah.