SANDAKAN : Selepas gagal menjatuhkan kerajaan negeri Sabah menerusi ‘Langkah Kinabalu’, parti pembangkang cuba menghasut rakyat untuk menjatuhkan karakter wakil rakyat Gabungan Rakyat Sabah (GRS) melalui pelbagai penyebaran video hasutan.
Naib Presiden Parti Gabungan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah berkata, rakaman video yang mereka sebarkan menggunakan individu tertentu bukan sahaja usaha mengulingkan kerajaan GRS, malah wujud dendam lama dirancang pemimpin pembangkang di Sabah.
Katanya, kumpulan ‘Langkah Kinabalu’ itu cuba menebus kekecewaan mereka selepas gagal menguasai kerajaan Sabah melalui ‘pintu belakang’.
“Mereka sentiasa berusaha menggunakan pelbagai keadaan termasuk taktik kotor untuk mempengaruhi rakyat Sabah agar membenci Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
“Pembangkang menyedari pengaruh parti mereka semakin susut selepas tewas menerusi siri pilihan raya lalu… Itulah mereka merancang pelbagi konspirasi negatif untuk kembali berkuasa,” katanya di sini kelmarin.
Masiung berkata, team ‘Langkah Kinabalu’ kecewa adalah dalang media sosial yang bertanggungjawab menghasilkan video hasutan jahat melibatkan lapan wakil rakyat GRS baru-baru ini.
“Kita yakin akan ada lagi usaha dan dendam kumpulan pembangkang itu untuk menghasut rakyat Sabah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun ini.
“Kita tengoklah apa lagi dakwaan bakal mereka buat….Kita percaya mereka kini sedang merancang agenda untuk menghasut rakyat untuk membenci kerajaan,” jelas Masiung. – SNT