Gagal Buka Jeriji Dipercayai Punca Empat Sekeluarga Mati Dalam Kebakaran Di Penampang

kebakaran-penampang.jpg
Kongsi Bersama

PENAMPANG: Empat sekeluarga yang terkorban dalam kebakaran di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Hungap, di sini awal pagi Selasa dipercayai gagal membuka mangga kunci di jeriji kecemasan pada tingkap untuk menyelamatkan diri.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Md Ali Ismail berkata, tiga mayat mangsa ditemukan di bilik tingkat atas berhampiran tingkap manakala seorang lagi mangsa ditemukan dalam bilik air berhampiran bilik berkenaan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kebakaran itu dipercayai bermula dari tingkat bawah rumah tersebut bagaimanapun siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca kebakaran.

“Keempat-empat mangsa berkenaan dipercayai sedar kebakaran itu, namun mangsa gagal untuk menyelamatkan diri kerana tidak dapat membuka mangga yang dipasang pada jeriji berkenaan.

“Apabila dalam keadaan panik, besar kemungkinan mangsa akan lupa di mana meletakkan kunci untuk membuka jeriji kecemasan tingkap berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi kejadian pada Selasa.

Mangsa dikenal pasti sebagai Matthew Wong, 50; dan dua anaknya Brendan Wong, 18, serta Eric Wong, 15, ditemukan di bilik tingkat atas berhampiran jeriji tingkap kecemasan manakala isterinya Jecky Vun Kon Fung, 48, di dalam bilik air berhampiran bilik berkenaan.

Dalam kejadian itu, JBPM Sabah menerima panggilan pada jam 2.52 pagi sebelum berjaya mengawal kebakaran pada jam 3.40 pagi dan operasi di lokasi kejadian ditamatkan pada jam 6.10 pagi.

Md Ali berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak memasang jeriji kecemasan tingkap rumah yang berkunci agar mudah untuk menyelamatkan diri sekiranya berlaku kebakaran. – SINAR

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top