PUTRAJAYA: Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar menyiasat pemimpin kanan Umno Sabah yang didakwa menerima ‘komisen’ jutaan ringgit membabitkan sebuah projek di negeri itu.
Menurut FMT pengerusi NGO itu, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, siasatan perlu dijalankan untuk menyemak kesahihan dakwaan dikatakan berkait projek hospital awam itu, yang telah menjadi tular selain turut mendapat liputan media di Sabah.
“Ketua Pesuruhjaya SPRM sebelum ini menyatakan komitmennya untuk menyiasat semua berita yang dikeluarkan di Facebook, TikTok dan sebagainya berkaitan rasuah, jadi sebab itu kami hari ini datang untuk membuat laporan.
“Kita minta SPRM siasat dakwaan ini betul atau tidak. Kalau betul berlaku, siasat dan ambil tindakan sebab rakyat nak tahu,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
Beliau turut menggesa pemimpin kanan Umno Sabah berkenaan agar membuat penafian serta laporan polis jika dakwaan itu tidak benar agar isu ini tidak terus menjadi polemik.
“Saya ingat isu ini sudah seminggu lebih tular, tetapi sehingga kini, tiada kenyataan dibuat pemimpin Umno (Sabah) … sampai sekarang belum ada lagi yang tampil menafikan tuduhan-tuduhan berat ini,” katanya.
Zulkarnain berkata, tindakan beliau yang juga bekas aktivis Umno membuat laporan kepada SPRM bukan bertujuan memburukkan mana-mana pemimpin Umno, sebaliknya mahu mencari keadilan berhubung isu ini.