TAWAU: Fungsi masjid haruslah terus dipertingkatkan seiring dengan kedudukannya sebagai antara institusi terpenting dalam Islam.
Bagi mencapai maksud itu, ADUN Tanjung Batu, Andi Suryady berkata, usaha haruslah dilakukan secara berterusan supaya budaya pengimarahan masjid dapat disuburkan.
Beliau yang juga Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah berkata demikian dalam ucapannya semasa merasmikan Masjid Sirothol Mustaqim, Kg Tanjung Batu Laut, di sini, pada Jumaat.
Masjid itu siap pembinaannya pada November tahun lalu.
Asalnya didirikan di atas sebidang tanah yang diwakafkan oleh Almarhum Haji Ali Kusin pada tahun 1980 masjid tersebut telah beberapa kali melalui penambahbaikan selari dengan pertambahan penduduk setempat.
Namun pada bulan Jun 2020 pihak kerajaan telah meluluskan sejumlah peruntukan untuk memperbaharui keseluruhan struktur bangunan masjid tersebut.
Walaupun mengambil sedikit masa untuk disiapkan akibat berbagai kekangan, khasnya akibat PKP yang berpunca daripada pandemik Covid-19, masjid yang terletak di atas bukit itu akhirnya berjaya disiapkan.
Dalam ucapannya, Andi juga berkata, sebagai wakil rakyat beliau terbuka untuk mendengar dan membantu pihak pengurusan masjid melaksanakan aktiviti-aktiviti yang bertujuan memperkasakan ummah dan meningkatkan syiar Islam.
Pada majlis itu Andi turut menghulurkan sejumlah peruntukan untuk menambah beberapa struktur yang dicadangkan oleh pihak jawatankuasa masjid.
Antara yang turut hadir pada majlis hari ini adalah Tn. Hj. KK Abdul Hj. Dullah selaku Pengerusi AJK Masjid Sirothol Mustaqim; Tn. Hj. Mahmud Sakti, Ketua Anak Negeri DUN Apas yang mewakili Ketua Daerah Tawau; Saharuddin Salleh, PPM DUN Tanjung Batu; Sofian Mohammadon, Pegawai Penyelaras Masjid Daerah Tawau-Kalabakan; Isran Sabaran, Ketua Anak Negeri DUN Tanjung Batu; dan Dine Nurdin, Pengerusi JPKK Kg Tanjung Batu.