TAMBUNAN: Timbalan Ketua Menteri I Sabah Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan, telah merasmikan acara Fun Run Merdeka 2024 di Taman Marawagas, Kampung Kuala Monsok, Tambunan kelmarin.
Dalam ucapan perasmiannya, Jeffrey memaklumkan bahawa Fun Run Merdeka, yang diadakan sempena Hari Kebangsaan, Hari Sabah, dan Hari Malaysia pada 16 September, juga dilaksanakan di lokasi lain seperti Kota Kinabalu. Namun, Fun Run di Tambunan adalah satu-satunya yang dianjurkan di kawasan tersebut.
Beliau yang juga ADUN Tambunan berharap program tahunan itu akan terus berkembang dengan penyertaan yang semakin bertambah dan pelbagai aktiviti menarik dari tahun ke tahun.
Katanya, program itu bukan sahaja bertujuan untuk mengeratkan silaturahim dan mempromosikan gaya hidup sihat, tetapi juga untuk memperingati kemerdekaan dan hari kebangsaan.
Beliau turut menyatakan bahawa tahun 2024 merupakan tahun pertama Hari Sabah diraikan secara rasminya di Kota Kinabalu setelah digazetkan pada 5 Jun lalu, dan tahun lalu Sabah Day dirayakan di Tambunan selepas 60 tahun terabai.
Dr Jeffrey menjelaskan bahawa pada 8 Ogos 1963, Majlis Perundangan Borneo Utara menetapkan Sabah merdeka pada 31 Ogos 1963, tanpa mengira sama ada Malaysia dibentuk atau tidak pada tarikh tersebut.
“Sejarah menunjukkan bahawa Sabah mencapai kemerdekaan dan berkerajaan sendiri pada 31 Ogos 1963, dan Malaysia hanya berjaya dibentuk pada 16 September 1963.
“Dengan itu kini Malaysia terdiri daripada tiga entiti iaitu Wilayah Sabah, Wilayah Sarawak dan Wilayah Malaya yang berada pada kedudukan sama taraf,” katanya.
Dalam pada itu Jeffrey berkata Taman Marawagas perlu dipelihara kerana keindahannya. Alam semulajadi, sikap ramah penduduk, dan kepedulian terhadap pengunjung adalah aset penting yang memastikan alam sekitar terjaga.
“Mukim Monsorulung bertuah kerana mempunyai banyak produk pelancongan yang boleh dimajukan kerana alam semulajadinya seperti sungai-sungai yang antaranya sungai Pagalan, Tikolod dan Monsok, dan beberapa air terjun, antaranya Mahua, Maraigual dan Molotikod, dan yang belum diterokai,” katanya.
Tambah beliau, terdapat perancangan untuk memajukan aset-aset pelancongan yang merangkumi kawasan Kuala Monsok, Monsok Tengah hingga ke Rompon, dengan harapan mendapat kerjasama dari semua pihak untuk pendanaan pembangunan potensi-potensi tersebut.
Selain aset dan potensi, pelaksanaan program dan aktiviti yang berterusan adalah penting untuk memaksimumkan penjanaan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat Monsorulung.
Sumber: FB Jeffrey G. Kitingan Page