Dakwaan kerajaan gagal, hanya tanggapan puak lawan – Hajiji

CM-1.jpg

SUKAU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mempertahankan keupayaan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – Pakatan Harapan (PH) Plus dalam mentadbir dan mengurus negeri ini dengan baik.

Beliau menegaskan, kerajaan pimpinannya itu tidak gagal melaksanakan tanggungjawab dan tugasnya selaku pemerintah, meskipun dituduh sebagai kerajaan yang gagal oleh pihak lawan.

Katanya, tuduhan itu tidak lebih sebagai tanggapan pihak atau puak yang tidak suka kepada kerajaan GRS-PH Plus dan enggan menerima hakikat bahawa kerajaan yang ada sekarang berjaya melakar banyak pencapaian.

“Banyak yang sudah kita buat, tapi ada yang cakap kerajaan GRS gagal. Sebenarnya kerajaan GRS tidak gagal, macam mana dikatakan gagal kalau kita mentadbir negeri ini dengan baik.

“Kita dapat tingkatkan hasil kita, melaksanakan pembangunan dan beri bantuan kepada rakyat, meningkatkan bantuan kepada pelajar seluruh Sabah dari Tingkatan Lima dan Enam sampailah ke Universiti.

“Begitu juga dengan PETRONAS, kita berjaya memeterai perjanjian dengan syarikat itu dan ia antara pencapaian kita. Kalau kita tidak pandai urus negeri tidak mungkin ini semua boleh berlaku.

“Kalau kita dianggap kerajaan gagal, itu cuma tanggapan puak yang tidak suka kepada kita,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Ketua Menteri anjuran Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sukau di perkarangan Masjid Tun Juhar, Sukau, Kinabatangan pada Sabtu.

Hadir sama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Dr. Haji Mohd Arifin Mohd Arif, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Isnin Haji Aliasnih, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri, Datuk Samad

Jamri, Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB), Datuk Masiung Banah, Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB), Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Jaffari Waliam dan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Sukau, Datuk Juhari Janan.

Hajiji yang juga Presiden Gagasan Rakyat, berkata, beliau yakin dengan apa yang dibuat oleh kerajaan hari ini, rakyat sekali lagi akan memberi mandat kepada GRS-PH Plus, termasuk memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sukau pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) nanti.

“Kita bukan macam pemimpin lain yang suka fitnah dan cakap macam-macam tapi tidak melakukan apa-apa, mereka hanya bercakap kosong dan bohong setiap masa kepada rakyat.

“Saya minta rakyat di Sukau ini jangan percaya kepada pembohongan pemimpin atau puak yang tertentu ini. Kita mahu Sabah terus maju dan atas sebab itu kita perlu sokong GRS – PH Plus,” katanya.

Katanya, rakyat perlu memberi kepercayaan kepada kerajaan GRS-PH Plus pada PRN akan datang dan meyakini gabungan itu akan memenangi pilihan raya itu nanti.

“Kita adil kepada semua kaum dan masyarakat tanpa mengira asal usul mereka dan insyaAlllah kalau diberi peluang, kita akan teruskan kemajuan yang kita rancang melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) termasuk di Sukau, Lamag dan Kuamut di Kinabatangan ini.

“Lupakanlah dulu punya sejarah, kita cuba yang baharu ini pula, insyaAllah kita akan dapat kemajuan seperti yang kita rancangkan. Kita kuatkan perpaduan kita dan buat perubahan untuk Sukau, Lamag dan Kuamut,” katanya.

Bercakap kepada media selepas itu, Ketua Menteri mengulangi keyakinannya terhadap keupayaan Gagasan Rakyat dan parti komponen dalam kerajaan sekarang mencapai yang terbaik selama menjadi kerajaan.

Beliau juga yakin rakyat akan memberi peluang kepada kerajaan pimpinannya untuk meneruskan usaha membangun dan membawa bermacam kebaikan ekonomi dan kesejahteraan kepada rakyat Sabah.

Mengenai Sukau yang kini berstatus daerah kecil, Hajiji menyatakan keyakinannya untuk melihat daerah kecil itu membangun dengan lebih pesat lagi menerusi pentadbiran Pejabat Daerah Kecil yang baharu, khususnya sektor pelancongan yang menjadi kekuatan ekonomi daerah ini.

Pada majlis itu, Hajiji menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf, bag sekolah kepada pelajar, kerusi roda Jabatan Kebajikan kepada para penerima dan kunci rumah SMJ kepada penerima yang layak.

Beliau turut menerima borang keahlian daripada mantan Timbalan Pengerusi Perhubungan Perikatan Nasional (PN) Sabah, Encik Aksyah Nasrah bersama 11 bekas Ketua Cawangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). – Penerangan Gagasan Rakyat

PCS belum putuskan bertanding PRN Sabah, fokus pastikan kemenangan GRS

TS-Anifah.jpg

KOTA KINABALU: Parti Cinta Sabah (PCS) masih belum membuat keputusan sama ada ia akan bertanding dalam pilihan raya negeri yang akan datang.

Presidennya Tan Sri Anifah Aman berkata, isu pembahagian kerusi tidak penting bagi parti itu kerana fokusnya adalah untuk menyokong dan memastikan kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)..

PCS adalah sebahagian daripada GRS, iaitu gabungan yang memerintah Sabah sekarang.

Tujuh parti lain yang berada dalam gabungan itu ialah Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidarity Tanah Airku (STAR), Parti Progresif Sabah (SAPP), Parti Liberal Demokratik (LDP), dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno).

“Peranan PCS sekarang adalah untuk menyokong GRS. Isu pembahagian kerusi tidak penting—yang penting adalah kemenangan,” kata Anifah kepada pemberita selepas acara buka puasa di sini kelmarin.

“Tiada gunanya jika saya menang tetapi parti kalah, jadi tiada masalah jika kami tidak mendapat sebarang kerusi,” tambah senator itu.

Beliau menambah bahawa beliau akan terus berkhidmat dan membantu selagi khidmatnya diperlukan.

Dalam pilihan raya negeri yang lepas, Anifah, seorang bekas ahli parlimen, tewas dalam perebutan kerusi negeri Bongawan dalam pertandingan empat penjuru menentang calon-calon dari Warisan, Barisan Nasional, dan LDP.

Kerusi tersebut dimenangi oleh Dr Daud Yusof dari Warisan.

 

Lima penyelam dikompaun ganggu penyu di Pulau Manukan

ganggu-penyu.jpg

KOTA KINABALU: Notis kompaun telah dikeluarkan kepada lima individu yang dikenal pasti mengganggu penyu ketika menyelam di Pulau Manukan, dekat sini, baru-baru ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew berkata, notis tersebut dikeluarkan kepada individu-individu terbabit serta syarikat yang bertanggungjawab.

“Tindakan mereka adalah tidak bertanggungjawab dan bertentangan dengan prinsip pemuliharaan marin Sabah.

“Kami menggesa semua pengusaha pelancongan untuk memainkan peranan yang lebih bertanggungjawab dalam memastikan pematuhan terhadap garis panduan dan peraturan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah bahawa kerajaan negeri tetap komited dalam pemuliharaan alam sekitar dan memberi amaran bahawa ia tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang pelanggaran undang-undang perlindungan hidupan liar.

Kompaun-kompaun tersebut dikeluarkan di bawah Enakmen Taman 1984 (Pindaan 2024) susulan video tular mengenai insiden itu yang berlaku lebih awal minggu ini.

Identiti lima pekerja tersebut telah dikenalpasti dan kenyataan mereka telah direkodkan oleh pihak Sabah Parks pada 13 Mac.

Pulau Manukan berada dalam kawasan Taman Tunku Abdul Rahman dan di bawah pengawasan Sabah Parks.

Insiden tersebut mendapat perhatian meluas di media sosial selepas sebuah video berdurasi 30 saat dimuat naik oleh Pusat Penyelidikan dan Pemuliharaan Tropika (TRACC) lebih awal minggu ini, yang menunjukkan beberapa penyelam mengelilingi seekor penyu dan memegang anggota badannya.

Video itu menyebabkan kemarahan orang ramai, terutamanya dalam kalangan pencinta alam dan aktivis pemuliharaan.

Penyu laut dilindungi sepenuhnya di bawah Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar Sabah, dan memiliki, menyentuh, atau mengendalikan mereka dengan cara yang salah adalah dilarang.

Pesalah boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 dan penjara antara satu hingga lima tahun.

Yayasan Sabah tawar rebat 30 peratus bayaran balik pinjaman

Yayasan-Sabah-rebat.jpg

KOTA KINABALU: Kumpulan Yayasan Sabah melancarkan program Insentif Rebat Madani yang menawarkan rebat 30 peratus daripada baki pinjaman kepada pelajar apabila mereka menyelesaikan pinjaman sepenuhnya antara April hingga Jun tahun ini.

Pengarahnya Datuk Seri Gulamhaidar Khan Bahadar berkata, inisiatif berkenaan adalah sebahagian daripada usaha untuk meringankan beban kewangan peminjam, di samping menggalakkan penyelesaian pinjaman secara penuh.

Beliau berkata, inisiatif dibuat susulan pencapaian cemerlang Kumpulan Yayasan Sabah yang mencatat kutipan sebanyak RM6.6 juta pembayaran balik pinjaman setiap tahun bagi dua tahun berturut-turut pada 2023 dan 2024, sekali gus memperlihatkan pengurusan kewangan yang kukuh dan komitmen peminjam.

“Untuk mempertingkatkan kemudahan pembayaran balik pinjaman, Kumpulan Yayasan Sabah akan melancarkan Portal Pembayaran Balik Pinjaman yang baharu dengan menyediakan akses menyeluruh kepada peminjam berkaitan maklumat pembayaran, butiran rebat, polisi pinjaman, dan soalan lazim (FAQ),” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Peminjam boleh menggunakan pelbagai kaedah pembayaran termasuk Maybank2u, JomPAY serta pemindahan telegraf untuk pelanggan bank lain.

Kaedah pembayaran tradisional juga kekal tersedia melalui kaunter di Menara Tun Mustapha, Teluk Likas dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kota Kinabalu.

Beliau berkata, pihaknya turut menyediakan pelbagai saluran kepada peminjam untuk mendapatkan maklumat, termasuk portal rasmi www.yayasansabahgroup.org.my/bppp/index.html, Facebook KYS-Kumpulan Yayasan Sabah, e-mel bayaranbalikpengajian@ysnet.org.my atau hubungi 011-33181088.

 

scroll to top