SANDAKAN: Pemangku Pengerusi DAP Sabah Datuk Frankie Poon Ming Fung memuji keputusan Kerajaan Negeri Sabah yang memberikan peruntukan sebanyak RM2 juta kepada setiap kawasan zon merah yang di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) atas sebab peningkatan penularan wabak Covid-19.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Papat berasa bahawa politik haruslah diketepikan oleh semua pihak dan berusaha untuk mengawal penularan wabak serta memberikan bantuan kepada rakyat yang memerlukan bantuan.
Frankie turut mencadangkan bahawa peruntukan dan bantuan boleh disalurkan melalui pejabat ADUN dengan kerjasama Pegawai Kemajuan Masyarakat, MPKK, Ketua Kampung serta Kapitan dengan lebih cepat dan lancar.
“Sejak berlakunya penularan COVID-19 di Sabah pada Mac tahun ini, mantan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal telahpun memberikan peruntukan kepada pejabat ADUN dan UPPM untuk mengatur dan mengedarkan bantuan kepada rakyat di kawasan masing-masing.
“Oleh itu, mereka telah ada catatan yang lengkap orang ramai dan mampu mengedarkan bantuan dengan lancar dan tepat,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Frankie berkata, kerjasama antara pasukan UPPM yang lama dan pasukan UPPM yang baharu atau tengah menunggu pelantikan haruslah diwujudkan supaya pengedaran bantuan boleh dilakukan secepat mungkin. Proses-proses pelantikan UPPM akan menangguhkan masa bantuan-bantuan diedar kepada rakyat.
Beliau juga berasa bahawa pengedaran bantuan makanan melalui CPRC dengan kerjasama polis, RELA, Jabatan Kesihatan Sabah dan Jabatan Kebajikan Sabah yang dicadangkan oleh kerajaan adalah cara pengedaran yang lebih lambat dan kurang efisien.
Antara kawasan-kawasan zon merah COVID-19 termasuklah Sandakan, Tawau, Semporna, Lahad Datu, Kunak, Kota Kinabalu, Penampang, Sipitang, Tuaran dan Papar. Peningkatan kes-kes COVID-19 di 10 kawasan ini adalah amat membimbangkan. – Utusan Borneo