KUALA LUMPUR: Formula bagi semakan kadar pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak yang termaktub dalam Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan masih belum dimuktamadkan.
Keputusan itu tertakluk kepada perbincangan di antara Kerajaan Sabah dan Sarawak serta Kementerian Kewangan (MOF).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata memandangkan belum ada satu formula khas, persetujuan yang dibuat ketika ini adalah di peringkat interim.
“Sehingga kini belum ada formula muktamad, kerajaan di ketiga-tiga peringkat (Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Sabah dan Sarawak) atas prinsip untuk memastikan Sabah dan Sarawak terima kadar semakan lebih tinggi daripada kadar sedia ada, maka persetujuan itu adalah di peringkat interim, seperti disebut Perdana Menteri dalam ucapan Belanjawan 2024 bahawa kadar RM300 juta itu adalah pengaturan interim membabitkan ketiga-tiga negeri.
“Di mana dan apakah formula ditetapkan, bergantung kepada perbincangan Kerajaan Sabah, Sarawak dan MOF yang bertanggungjawab terhadap perkara ini,” katanya ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 membabitkan kementeriannya di Dewan Rakyat, pada Isnin.
Beliau menjawab celahan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) yang ingin tahu sama ada terdapat formula tetap atau kadar pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak dibuat secara interim.
Kabinet sebelum ini menaikkan amaun pemberian khas baharu Sabah sebanyak 4.7 kali ganda daripada RM26.7 juta (sejak 1973) kepada RM125.6 juta bagi 2022, dan amaun itu akan terus meningkat setiap tahun bagi tempoh 2023 hingga 2026 mengikut kadar kenaikan dipersetujui secara bersama.
Untuk rekod, kali terakhir kajian semula pemberian khas kepada Sarawak dan Sabah dibuat masing-masing pada 1969 dan 2022.
Mengenai maksud ‘interim’ yang ditetapkan dalam pemberian khas berkenaan, Armizan berkata, MOF akan memberikan penerangan mengenai perinciannya.
“Saya yakin MOF dalam proses melakukan prosedur sepatutnya dan kita berharap perintah pewartaan ini dapat dibentangkan pada sidang Parlimen kali ini, begitu juga dengan perkataan interim, akan diperjelaskan oleh MOF.
“Saya yakin seperti 2022, apabila dikeluarkan warta semakan pemberian khas berkenaan, walaupun ada pihak kata ia akan mengikat khususnya Sabah untuk tempoh lima tahun, namun apabila ada persetujuan baharu, satu perintah baharu akan dikeluarkan pada tahun ini juga yang membatalkan perintah terdahulu,” katanya.
Beliau berkata, rundingan mengenai pemberian khas berkenaan tertakluk kepada dua perkara utama iaitu keperluan kerajaan negeri dan kemampuan Kerajaan Persekutuan.
“Walaupun disebut kemampuan Kerajaan Persekutuan, paling penting adalah Kerajaan Persekutuan mengiktiraf hak Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan yang termaktub dalam Perkara 112C,” katanya. – BHarian