Formula kesederhanaan majukan umat Islam tanpa jejas masyarakat lain – Hajiji

hajiji-1.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Pendekatan yang serba sederhana atau bukan bersifat ekstrem dilihat sebagai formula terbaik untuk memajukan umat Islam tanpa menggugat kedudukan golongan bukan Islam.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pendekatan itu sesuai bagi menjamin keharmonian hidup masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya, seperti yang wujud di Sabah.

Katanya, kedudukan negeri ini yang menjadi tanah tumpah darah kepada 33 kumpulan pribumi yang bertutur dalam 50 bahasa dan lebih 80 dialek etnik, menjadikan amalan kesederhanaan sebagai langkah terbaik menyatukan masyarakat.

“Justeru, kesederhanaan yang kita amalkan ini amat penting dalam kita menjaga dan memupuk keharmonian serta perpaduan dalam negeri dan negara yang berbilang kaum dan agama,” katanya pada Majlis Penutupan Konvensyen Pengurusan Hal Ehwal Islam sempena Ijtimak Perdana Agensi Agama Seluruh Malaysia (IJPAM) 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, malam semalam.

Majlis itu disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Hadir sama ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Sementara itu, Hajiji berkata, kerajaan negeri akan terus melaksanakan program keagamaan dan kerohanian di negeri ini dengan peruntukan besar untuk perbelanjaan operasi setiap tahun termasuk RM176.16 juta pada tahun ini.

Beliau turut menekankan bahawa sudah menjadi tugas dan tanggungjawab kerajaan untuk memastikan rakyat hidup dalam suasana aman, makmur dan sejahtera.

“Perbezaan agama bukan penghalang untuk kita hidup rukun dan damai. Ia juga tidak akan menjadi penyebab untuk kita hidup bermusuhan turun temurun.

“Agama itu mengajak kepada kebaikan dan memupuk perpaduan, selain mengajak kepada nilai murni, hormati menghormati dan saling percaya mempercayai.

“Apatah lagi dalam agama Islam itu sendiri yang asasnya adalah keamanan, kesejahteraan dan kebahagiaan hidup,” katanya.

Mengenai Konvensyen Pengurusan Hal Ehwal Islam sempena IJPAM 2023 yang kali ini diadakan di Sabah, Hajiji berkata, program itu dapat memberi pencerahan dan kefahaman terhadap beberapa isu berkaitan hal ehwal agama di antara agensi agama yang terbabit.

Beliau berkata, jaringan kerjasama dan kesatuan antara agensi agama persekutuan dengan agensi agama negeri wajar diteruskan ke arah mengemas kini dan memantapkan lagi pentadbiran serta pengurusan hal ehwal Islam di negara ini. –BHarian

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top