KOTA KINABALU: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Food Aid Sabah menyatakan kesediaan untuk terus menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan terutama yang berkeperluan khas walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran.
Pengerusi Food Aid Sabah Darren Liew berkata, persatuan itu sentiasa komited untuk memberi khidmat kepada golongan berkeperluan khas, biarpun mereka yang berada di bandar ataupun jauh di kawasan pedalaman.
Darren telah mengetuai rombongan ke Kampung Kuala Ondop, Sipitang baru-baru ini bagi mengagihkan bantuan kepada beberapa penerima.
Penduduk di kampung tersebut menghadapi masalah infrastruktur yang kurang lengkap, kekurangan bekalan air dan elektrik.
Ekoran itu para penduduk terpaksa mendapatkan sumber air dari air hujan atau sungai serta mengambil inisiatif menggunakan generator untuk membekalkan elektrik untuk aktiviti harian.
“Perjalanan kali ini agak mencabar kerana terpaksa merentasi sungai, jalan berlumpur yang mana amat berisiko kemungkinan terbabas jika keadaan jalan berlumpur, ” katanya.
Sempena program itu, Food Aid Sabah telah mengagihkan tujuh kotak bantuan makanan yang disumbang oleh Shopee.
Sumber: Utusan Borneo/FB Food Aid Sabah