Fokus tangani isu kritikal sebelum pertimbang penganjuran bersama Sukan SEA 2027

Rahimah-Majid.jpeg

Rahimah

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri perlu memberi keutamaan untuk menangani isu kritikal dihadapi rakyat sebelum mempertimbangkan penganjuran bersama Sukan SEA 2027 dengan Pulau Pinang dan Sarawak.

Ketua Srikandi Bersatu Negeri Sabah Rahimah Majid berkata, kerajaan negeri perlu meningkatkan kemudahan bekalan air dan elektrik serta kemudahan di lapangan terbang sebelum melaksanakan perkara lain yang membabitkan dana.

“Kita percaya sebahagian besar rakyat Sabah sependapat dan bersetuju Sabah masih menghadapi kekurangan dalam kemudahan ini.

“Kerajaan negeri perlu memberi fokus terhadap masalah ini dan mengutamakan keperluan rakyat termasuklah menyediakan lebih banyak rumah mampu milik, menambah baik pengangkutan awam, menaik taraf kemudahan pendidikan dan penjagaan kesihatan, selain meningkatkan infrastruktur pelancongan terutama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) serta melaksanakan program tebatan banjir di kawasan yang terdedah kepada banjir,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, pihak hartanah juga banyak meluahkan kebimbangan berkenaan bekalan air dan elektrik yang tidak konsisten termasuk isu banjir yang menjejaskan nilai hartanah.

“Dalam beberapa kes sebelum ini, kita mendapati walaupun pemilik cuba menjual hartanah berkenaan dibawah nilai pasaran, tetapi malangnya masih tiada pembeli yang sanggup dan berani untuk memilikinya.

“Pada masa sama, kerajaan negeri juga perlu fokus kepada keperluan untuk menangani kenaikan kos sara hidup terutama kenaikan harga makanan yang semakin dibimbangi di negeri ini.

“Kerajaan yang bertanggungjawab harus memberi tumpuan kepada kebajikan dan kesejahteraan rakyat terlebih dahulu,” katanya.

Rahimah berkata demikian, sebagai maklum balas terhadap kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Alfred Angin yang mengumumkan bahawa kerajaan Sabah bersetuju untuk mempertimbangkan penganjuran bersama Sukan SEA 2027.

Dalam kenyataan terbabit, Ellron berkata, kabinet negeri sebulat suara menyokong usul terbabit dalam satu mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor selepas menilai pelbagai aspek yang terlibat.

Dalam pada itu, Rahimah memuji pendirian Menteri Kewangan Negeri Datuk Seri panglima Masidi Manjun yang menyatakan bahawa Sabah masih belum bersedia untuk menjadi tuan rumah bersama acara sukan berkenaan berikutan kemudahan sukan yang tidak mencukupi di negeri ini.

Rahimah berkata, kos sebenar menaik taraf kemudahan itu mungkin melebihi bajet RM100 juta yang dicadangkan untuk penganjuran bersama temasya itu.

Beliau turut melahirkan kekeliruan berhubung kurangnya komunikasi diantara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri berhubung rancangan penglibatan Sabah dengan memetik kenyataan Masidi sebelum ini.

“Nampaknya tidak ada komunikasi yang betul diantara kerajaan pusat dan kerajaan negeri dalam isu ini, Menteri Belia dan Sukan Persekutuan harus menjelaskan siapakah yang dari kerajaan Sabah memberi kelulusan untuk mengumumkan perkara ini,” katanya.

Beliau juga mengkritik kenyataan kerajaan persekutuan yang menjangkakan Sabah akan menyumbang RM100 juta kepada penganjuran bersama temasya itu tetapi pada masa sama 40 peratus hak hasil Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan belum dipulangkan. – Utusan Borneo

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top