Fokus Tangani Covid-19, Ini Bukan Masa Berpolitik – Dr Joachim

dr-joachim.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kepemimpinan Parti Bersatu Sabah (PBS) menyuarakan pandangan berhubung spekulasi perikatan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tergugat susulan perkembangan politik di semenanjung.

Naib Presidennya, Datuk Dr Joachim Gunsalam, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata fokus sepatutnya menjurus menangani masalah Covid-19, bukannya menyalurkan tenaga terhadap perkara tidak perlu.

“Penting kepada kerajaan negeri GRS memberi tumpuan penuh menyelesaikan masalah Covid-19 di negeri ini berbanding membuang masa dan tenaga untuk politik “tukar kerajaan”.

“Ketika ini bukan masanya untuk menukar kerajaan. Bagaimana kita mahu memberi jaminan penularan Covid-19 akan terhenti selepas kita menukar kerajaan?

“Atau mungkin ia menjadi lebih teruk? Tiada jaminan,” katanya dalam kenyataan.

Joachim berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Menteri yang juga Pengerusi GRS Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, semalam, yang mengatakan kepemimpinan perikatan berkenaan sudah mencapai kata sepakat mengekal kerjasama dalam kerajaan negeri, selain menjunjung mandat rakyat pada pilihan raya negeri ke-16, September tahun lalu.

Kenyataan Hajiji itu dibuat beberapa jam sebelum Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, mengumumkan parti berkenaan menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Sambil menyokong kenyataan Hajiji, Joachim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, berkata rakyat Sabah sudah memberikan mandat kepada GRS, justeru adalah menjadi tanggungjawab kepemimpinan untuk memenuhinya.

“Janganlah berterusan bermain politik dan memberi fokus menyelesaikan masalah Covid-19,” katanya.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top