KOTA KINABALU: Pengundi muda bukanlah satu kelompok yang seragam dan itulah hakikat yang perlu difahami oleh parti politik yang mahu menarik sokongan mereka, kata bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Dr Salleh Said Keruak.
Fokus utama golongan itu merangkumi beberapa isu penting, antaranya peluang ekonomi seperti pekerjaan, kestabilan ekonomi, dan perumahan mampu milik.
“Pendidikan dan kemahiran juga menjadi aspek yang signifikan bagi mereka, dengan keperluan akses kepada pendidikan berkualiti yang sepadan dengan pasaran kerja,” kata Salleh dalam hantarannya di Facebook hari ini.
Tambah ADUN Usukan itu lagi, pengundi muda kini muncul sebagai kuasa penting dalam pilihan raya Malaysia, terutamanya dengan pelaksanaan Undi18 yang membolehkan golongan itu memberikan undi mereka.
“Mereka turut memberi perhatian pada aspek keadilan sosial dan alam sekitar dengan menuntut ketelusan, perlindungan hak asasi manusia, dan dasar iklim yang lestari.
“Aspek anti-rasuah dan tadbir urus yang baik juga penting bagi pengundi muda. Pada masa yang sama mereka ingin lebih banyak peluang untuk terlibat dan memimpin dalam arena politik,” tambah beliau sambil menekan bahawa golongan berkenaan turut memberi fokus pada penglibatan digital, di mana penggunaan media sosial dan teknologi untuk komunikasi yang lebih efektif menjadi keutamaan.
Beliau yang juga bekas menteri persekutuan turut berpandangan bahawa pengundi muda di Sabah dan Sarawak lebih fokus kepada isu autonomi, pembangunan infrastruktur, serta akses kepada sumber ekonomi.
“Pembangunan asas seperti jalan, sekolah, dan kemudahan internet di luar bandar, serta peluang pekerjaan dan kos sara hidup di bandar, menjadi keutamaan mereka.
“Oleh itu, parti politik disarankan untuk mengadaptasi pendekatan yang berbeza dalam usaha mengukuhkan sokongan pengundi muda di Sabah dan Sarawak, di samping mengambil kira keperluan pengundi muda di Semenanjung Malaysia,” katanya