‘Flight to Nowhere’ Bertemakan Kota Kinabalu Sabah

flight-to-nowhere.jpg
Kongsi Bersama

SEOUL: Seramai 96 penumpang menaiki penerbangan ‘Flight to Nowhere’ dari Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Korea Selatan, untuk menikmati penerbangan bersiar-siar bertema Kota Kinabalu Sabah, baru-baru ini.

‘Flight to Nowhere’ atau penerbangan tanpa destinasi ini juga dikenali sebagai penerbangan pemandangan atau penerbangan bersiar-siar. Pelancong dapat mengalami semua proses lapangan terbang dan syarikat penerbangan, tetapi penumpang tidak tiba di destinasi baharu, sebaliknya mereka akan tiba di lapangan terbang sama dari mana mereka berlepas.

Untuk menyokong industri penerbangan tempatan dan sektor bebas cukai di Korea yang terjejas oleh pandemik global, Kerajaan Korea Selatan telah memberi kebenaran kepada syarikat penerbangan tempatannya untuk menjalankan program penerbangan tanpa destinasi. Jin Air telah mengambil peluang ini untuk mengadakan penerbangan tersebut dan Sabah dipilih sebagai destinasi antarabangsa ke-4 setelah Hong Kong, Osaka, dan Okinawa.

Dengan sokongan Lembaga Pelancongan Sabah (STB) dan bantuan daripada Tourism Malaysia, Jin Air, salah satu syarikat penerbangan tambang murah terbesar Korea Selatan, telah melancarkan ‘Flight To Nowhere’ ke-4 pada 25 Julai lalu.

Berlepas pada pukul 12.40 tengah hari dari Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, laluan penerbangan membawa penumpang terbang rendah di atas Daegu, Busan, dan sebahagian wilayah udara Jepun. Ia kemudian mendarat di tempat sama ia berlepas pada pukul 2.30 petang.

Penerbangan bersiar-siar bertema Kota Kinabalu telah menarik perhatian warga Korea dengan pelbagai faedah dan aktiviti penerbangan khas. Penumpang yang menaiki penerbangan ditawarkan beg cenderahati yang disediakan oleh Jin Air dan STB untuk memperingati peristiwa tersebut.

Kedai bebas cukai utama di Korea Selatan iaitu Shilla, Lotte, dan Shinsegae telah menawarkan perkhidmatan bebas cukai di dalam pesawat.

Kru kabin juga menyediakan hiburan tambahan seperti kuiz dan cabutan bertuah untuk memastikan penerbangan tetap menarik. Tiket pergi-balik (Incheon ke Kota Kinabalu) yang ditaja oleh Jin Air, hotel, dan baucar pelayaran matahari terbenam yang ditaja oleh STB ditawarkan sebagai hadiah kepada penumpang yang menaiki kapal terbang.

“Orang ramai jelas merindui pengalaman terbang. Pengalaman ini pasti akan memberi peluang kepada mereka untuk mengingati Kota Kinabalu, Malaysia sebagai destinasi pelancongan terbaik,” kata Shaharuddin Yahya, Pengarah TM Korea.

Memandangkan kejayaannya dalam projek penerbangan tanpa destinasi pertamanya, Pejabat Pelancongan Sabah bersama dengan pejabat Tourism Malaysia Seoul merancang untuk meneruskan aktiviti ini dengan syarikat penerbangan Korea lain termasuk Air Busan dan Jeju Air dengan peningkatan jumlah penerbangan pada Ogos ini.

“Penerbangan tanpa destinasi adalah pengalaman paling hampir dengan pelancongan ke luar negara dan ia menampung pelancong dahagakan pengembaraan,” kata Noredah Othman, Pengurus Besar STB.

“Kami mengalu-alukan warga Korea untuk mengunjungi kami sekali lagi apabila sempadan antarabangsa dibuka semula,” tambahnya.

Dengan kebanyakan penerbangan antarabangsa ditangguhkan atau dikurangkan selama setahun kerana Covid-19, Kementerian Tanah, Pengangkutan dan Hal Ehwal Maritim Korea Selatan telah menyokong penerbangan dan pelancongan dengan membenarkan ‘penerbangan tanpa destinasi’ dan ia terbukti sangat popular di kalangan orang-orang yang merasai nostalgia waktu sebelum pandemik.

Sabah merupakan salah satu destinasi percutian utama di Asia Tenggara di kalangan warga Korea Selatan sebelum pandemik tersebut merebak.

Hampir 400,000 rakyat Korea Selatan direkodkan mengunjungi Sabah pada 2019 dengan 67 penerbangan langsung berlepas dari Incheon, Busan, dan Muan ke Kota Kinabalu.-Harian Ekspress/Tourism Malaysia


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top