‘Flag off’ Kembara Kenali Borneo, Tawau sudah bersedia

tawau.jpg

Tawau sudah bersedia menerima keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong.

Kongsi Bersama

TAWAU: Tawau sudah bersedia menerima keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di bandar ketiga terbesar di Sabah itu petang ini bersempena dengan Program Kembara Kenali Borneo.

Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT) Joseph Pang berkata pihaknya juga sudah bersedia untuk majlis pelancaran kembara itu pada malam ini, dan acara flag off atau pelepasan kembara berkenaan yang dijadualkan pada Isnin (4 Sept).

“Hanya ada sedikit touch up lagi (persediaan), serta raptai penuh (majlis pelancaran) akan dilakukan pada malam ini di Dewan Masyarakat Tawau bagi memastikan perjalanan program teratur serta lancar. Kita sudah bersedia, harap semua berjalan lancar,” katanya kepada Bernama di sini semalam.

Beliau berharap masyarakat Tawau dapat hadir beramai-ramai ke acara yang diadakan bersempena dengan kembara itu bagi menyambut sendiri keberangkatan tiba Seri Paduka berdua yang berkenan untuk beramah mesra dengan rakyat.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati persiapan bagi majlis pelancaran Kembara Kenali Borneo dan santapan makan malam Seri Paduka berdua bersama rakyat di Dewan Masyarakat Tawau telah selesai dilakukan.

Pihak MPT juga sedang melakukan kerja-kerja pembersihan di lokasi majlis flag off program Kembara Kenali Borneo di Bulatan 0 KM berhampiran Padang Bandaran Tawau.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan memulakan jelajah Kembara Kenali Borneo di Sabah bermula 3 Sept di Tawau diikuti Lahad Datu, Sandakan, Telupid, Ranau, Kota Kinabalu, Penampang dan berakhir di Sipitang pada 7 Sept ini sebelum meneruskan perjalanan ke Sarawak.

Sementara itu, orang ramai yang ditemui Bernama di bandar Tawau melahirkan perasaan teruja dan tidak mahu melepaskan peluang untuk bertemu dengan baginda berdua pada majlis yang diatur nanti.

Penduduk dari Kampung Kalabakan yang terletak kira-kira 160 kilometer dari bandar Tawau, Muhamad Abdul Latip, 70, berkata beliau yakin seluruh penduduk Sabah berbesar hati menerima kunjungan Seri Paduka berdua ke Negeri Di Bawah Bayu itu.

“Ini kali pertama Seri Paduka berdua menjelajah Sabah dan berjumpa rakyat, saya juga tidak akan melepaskan peluang untuk bertemu Seri Paduka berdua pada flag off konvoi nanti. Saya berdoa semoga Malaysia kekal aman di bawah naungan Seri Paduka berdua,” kata pesara kerajaan itu.

Pekerja kedai kain Asfarani Hamka, 27, berkata beliau akan ke Padang Bandaran Tawau sebelum memulakan tugas pada Isnin nanti untuk menyaksikan sendiri program bersejarah itu dengan pelepasan kembara Seri Paduka berdua.

Senada dengan Asfarani, pekerja kedai kecantikan Karmila Kamal, 27, tidak sabar untuk ke padang itu nanti dan berharap dapat bertemu Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong kerana selama ini hanya dapat melihat keramahan Seri Paduka berdua di kaca televisyen. – BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top