KOTA BELUD: Dakwaan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) bahawa Parti Warisan mesra pendatang asing tanpa izin (PATI) disangkal Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Sambil mengatakan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang, Mohd Shafie yang juga Presiden Warisan berkata, pelawaan untuk bekerjasama dengan PBS sebelum ini adalah atas niat untuk menyatukan rakyat Sabah.
“Saya pelawa (kerjasama Warisan dan PBS) adalah untuk penyatuan umat, jika tidak setuju tidak apalah.
“Tetapi jangan menuduh kebanyakan ahli (Warisan) ini adalah PATI. Saya akan lihat dari segi undang-undang,” katanya, di sini, pada Ahad.
Kelmarin pada Siri Jelajah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Tenom, Presiden PBS, Datuk Seri Maximus Ongkili sekali lagi menegaskan parti itu ‘belum bersedia’ menjalin kerjasama dengan Warisan.
Maximus berkata, PBS tidak dapat menerima pelawaan parti itu berikutan latar belakangnya yang didakwa mesra pendatang asing tanpa izin (PATI).
Shafie yang juga ADUN Senallang berkata, tindakan tegas termasuk undang-undang itu diteliti bagi mengelak sesetengah pihak menggunakan isu Warisan dan PATI sebagai bahan politik sekali gus memecahbelahkan undi di negara ini.
“Di Sabah setiap kali pilihan raya mereka menggunakan (isu) PATI.. adakah ini benar?
“Saya mahu periksa nanti adakah ia benar bilangan jumlah ahli contohnya di Kota Belud (adakah ahli kami PATI),” katanya.