Fira, murid 13 tahun dari Tawau cipta sensasi di Australia

Nurelfira.jpg

Nurelfira Umaira (kiri) dan gurunya, Karim Batjo.

Kongsi Bersama

TAWAU: Berpegang kepada prinsip tidak menyerah kalah sebelum berjuang menjadi kunci kejayaan Nurelfira Umaira Mohd Yusof atau Fira, yang mencipta sensasi menang pingat emas acara 80 meter lari berpagar perempuan bawah 14 tahun di Australia.

Meskipun bertubuh kecil dengan ketinggian hanya 151 sentimeter, Fira, 13, tidak gentar sebaliknya lebih bersemangat dan yakin untuk membawa pulang pingat pada Kejohanan Trek dan Padang WA State 2024 di Perth itu, baru-baru ini.

Saiz fizikal lawan lebih tinggi dan besar dalam saingan itu dengan pelari tertinggi berketinggian lebih 180 sentimeter.

“Saya sasar emas, saya berlatih bersungguh-sungguh untuk dapatkan emas. Semasa melihat lawan, saya tetap yakin akan menang kerana berlatih lama sejak Tahun Empat. Saya yakin menang walaupun paling pendek dan kecil,” katanya.

Ketika ditemui pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Tawau, di sini malam semalam, murid Sekolah Kebangsaan Pasir Putih itu berkata, cabaran lain dihadapi ialah menyesuaikan cara larian dalam tempoh singkat sebaik tahu ada perbezaan jumlah pagar digunakan untuk 80 meter lari berpagar.

“Biasanya di Malaysia, acara itu menggunakan halangan lapan pagar, bagaimanapun di Australia sembilan pagar digunakan menjadikan jarak setiap pagar berkenaan lebih dekat.

“Susah sikit lapan pagar ke sembilan pagar, jadi sebelum acara akhir dimulakan, saya panaskan badan lagi dan cuba pagar. Syukur berjaya dengan masa 13.10 saat untuk emas,” katanya menambah 80 meter lari berpagar acara kegemarannya dan catatan masa peribadi terbaik 11.98 saat.

Dia yang turut meraih pingat perak acara 200 meter lari berpagar perempuan bawah 14 tahun di kejohanan sama, akan kembali menjalani latihan sebagai persiapan menyertai Little Athletics Championships yang dijadual berlangsung di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Julai ini.

Menurut Fira, gurunya, Karim Batjo pencetus minatnya untuk menyertai acara sukan lari berpagar ketika berusia 10 tahun di Tahun Empat.

“Sasaran saya untuk mewakili Malaysia pada kejohanan lebih besar seperti Sukan SEA,” katanya yang turut menjadikan pelari Malaysia di Sukan SEA lalu, Farah Syakira Azifsafarin, 15, sebagai sumber inspirasi.

Sementara itu, Karim berkata, meskipun fizikal Fira kecil, dia berani dan tenang, selain mudah menyesuaikan diri dengan perubahan, buktinya ketika mengetahui jumlah halangan pagar bagi acara lari berpagar 80 meter di Australia berbeza dengan Malaysia.

“Setengah jam sebelum saringan bermula, kami terpaksa ubah strategi untuk dia berlari. Alhamdulillah dia jenis tenang, dapat ikut rentak macam mana untuk lari laju dengan sembilan pagar. Saya juga cakap dengan dia, ‘kita sudah sampai sini, mesti bawa balik pingat’,” katanya.

Fira akan meneruskan latihan di bawah kendalian Karim bersama ketua jurulatih, Dzulfikar Awang Anak. Atlet itu disasar menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) dalam tempoh tiga atau empat tahun lagi, seterusnya ke peringkat kejohanan lebih tinggi.

“Sebelum ini, Fira memecahkan rekod larian 80 meter lari berpagar Majlis Sukan Sekolah (MSS) Sabah di Keningau dengan catatan 12.41 saat, juga rekod terbaik pada Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) bagi acara sama,” katanya.

Berharap atlet cilik itu sentiasa fokus dan berkorban untuk kejayaan lebih besar, Karim berkata, terdapat banyak pelapis sukan olahraga yang dikenal pasti di Sekolah Kebangsaan Pasir Putih, namun kekangan peralatan sukan menyukarkan sesi latihan yang lebih berkesan.

“Kami kekurangan peralatan kerana anak-anak kami yang berlatih setiap hari terlalu ramai hingga 60 orang, alat yang kami guna hanya satu, jadi penggiliran penggunaan barang itu sangat terhad,” katanya.

Beliau akan menyerahkan senarai 22 peralatan sukan yang amat diperlukan kepada pihak sekolah dan berharap ada pihak sudi tampil menderma alat berkenaan untuk membentuk atlet muda berpotensi di Tawau. – BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top