PUTATAN: Festival Makow Sabai 2025 yang akan diadakan di Kompleks Sukan Tawau dijangka menarik 20,000 pengunjung.
Presiden Pertubuhan Gabungan Adat Bangsa Tidung Negeri Sabah (Pantas) Dato’ Seri Sahran Untai berkata, festival itu bertujuan mempamerkan kepelbagaian budaya etnik di Sabah, termasuk peserta etnik dari Republik Indonesia.
“Program ini diadakan bertujuan untuk mengenengahkan budaya dan adat masyarakat Tidung yang akan menampilkan persembahan kebudayaan, makanan tradisional berasaskan ubi kayu dan permainan tradisional,” katanya.
Menurut beliau jemputan akan turut dihantar kepada kumpulan etnik seperti Bajau Samah, Bisaya, serta semua sekolah adat di seluruh Sabah, selain kumpulan etnik dari Republik Indonesia.
“Selain mengeratkan hubungan dan perpaduan kaum acara ini dijangka akan menjadi tarikan besar kepada industri pelancongan negeri sekali gus menjana ekonomi komuniti setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pentauliahan Ketua-Ketua Adat Tidung Zon Pantai Barat Sabah, di sini, pada Ahad, yang dirasmikan oleh Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Pembangunan Ekonomi Negeri Sabah merangkap Penasihat Ketua Adat Tidung Pantai Barat Sabah, Dato’ Seri Arsit Sedi.
Turut hadir Penasihat Ketua Adat Tidung Tawau Datuk Hassan A. Gani Pg Amir; Presiden Kongres Momogun Nasional Tan Sri Wences Angang; dan Presiden Sunduan Nabalu Shalmon Sanangan.
Untuk rekod, Sabah kini mempunyai 300 ketua adat selepas enam tahun penubuhannya, dengan keahlian 125,000 orang.