KOTA KINABALU: Festival Kraf Borneo (FKB) Ke-3 menyasarkan kutipan jualan sebanyak RM400,000 dengan sasaran kehadiran pengunjung seramai 30,000 orang di pusat beli-belah One Borneo Hypermall, Kota Kinabalu tahun ini.
Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Ainu Sham Ramli berkata, sasaran itu meskipun kurang berbanding perolehan pada 2018, tetapi masih realistik berdasarkan keadaan semasa.
Untuk rekod, pada 2018, Festival Kraf Borneo mencatatkan kutipan jualan sebanyak RM1.12 juta dengan penglibatan seramai 119 usahawan dan menarik lebih 30,000 pengunjung.
“FKB pada tahun ini mensasarkan sejumlah RM400,000 nilai jualan keseluruhan melalui penyertaan seramai 58 usahawan manakala sasaran kedatangan pengunjung pula adalah seramai 30,000 orang.
“Penganjuran FKB pada tahun 2018 yang diadakan di Lintasan Deasoka dan 2019 di Pusat Beli-belah Suria Sabah berjaya menjana nilai jualan sebanyak RM1.12 juta.
“Ini melalui penyertaan seramai 199 orang usahawan kraf dari Sabah dan Sarawak dengan bilangan pengunjung melebihi 30,000 orang”, ujar beliau.
Sementara itu, Ainu turut berkata, insentif baucar pembelian produk kraf Malaysia yang diumumkan oleh Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri baru-baru ini turut terpakai di setiap gerai jualan Festival Kraf Borneo 2022.
Insentif baucar tersebut menurut beliau menawarkan diskaun sebanyak RM30.00 bagi setiap pembelian produk kraf bernilai RM100.
“Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya telah mengumumkan pemberian tambahan insentif baucar pembelian produk kraf Malaysia sebanyak RM3.0 juta yang ditawarkan bermula 16 September 2022 bersempena Sambutan Hari Malaysia.
“Tawaran baucar bernilai RM30.00 bagi setiap gandaan RM100.00 pembelian produk kraf Malaysia boleh didapati di semua program promosi anjuran Kraftangan Malaysia termasuk di FKB 2022”, tambah Ainu.
Festival Kraf Borneo 2022 yang diadakan kali pertama sejak Pandemik COVID-19 itu akan berlangsung selama 18 hari bermula 23 September hingga 10 Oktober 2022, bermula 10.00 pagi hingga 10.00 malam di Main Atrium, One Borneo Hypermall, Kota Kinabalu.- AWANI