Festival Kesusasteraan dan Kesenian Antarabangsa Sabah 22-23 Sept

jasni-matlani.jpg

Jasni

KOTA KINABALU: Badan Bahasa dan Sastera Sabah (Bahasa) akan menganjurkan Festival Kesusasteraan dan Kesenian Antarabangsa atau Festival SILA ke-2 2023, pada 22-23 September ini.

Presidennya, Datuk Jasni Matlani berkata, program yang melibatkan ramai tokoh penulis dan ahli akademik antarabangsa itu dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (Motac), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah dan juga Institut Pendidikan Guru, Kampus Gaya.

“Program yang dianjurkan selama dua hari itu dijangka diadakan di Dewan Auditorium institusi Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya baharu yang sangat selesa, dan boleh memuatkan lebih 1,000 orang,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Jasni menghadiri mesyuarat dengan pihak IPG, yang diketuai Pengarahnya, Dr. Gereturude Jock, dan turut dihadiri Pengarah DBP Cawangan Sabah Aminah Awang Basar serta beberapa jawatankuasa tertinggi Bahasa di bilik Mesyuarat IPG Gaya, di sini, Jumaat.

Jasni yang juga Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Malaysia berkata, pembukaan festival itu dijangka dirasmikan Setiausaha Bahagian Dasar Kebudayaan, Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia (Motac) Dr. Tan Awang Besar manakala Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr. Jeffrey G Kitingan dijangka menyempurnakan majlis penutupan.

Kata Jasni, festival yang bertemakan “Maju Jaya Sastera dalam Malaysia Madani” itu turut diisi dengan program ilmu berbentuk seminar yang mengetengahkan beberapa tokoh penulis, ahli akademik dari beberapa negara. “Antaranya, Datuk Zainal Abidin Borhan, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, Aminah Awang Basar, Razak Adam, SM Zakir, Datuk Dr. Ramzah Dambul, Dzulkifli M. Aspah, Dr. Norafidah Noralidin, Amiruddin Md. Ali Hanapiah, dari Malaysia. Dr. Phaosan Jehwae dari Thailand, Haji Jawawi Haji Ahmad, Haji Dzulkifli dari Negara Brunei DS, Fatin Hamama. Jamal D. Rahman dan Maftuha Jafkar dari Indonesia serta Naomi Kato dari Jepun.

Selain program berbentuk ilmu, festival ini juga turut dihiasi oleh persembahan Teater Dongeng Perkebunan yang ditulis oleh Abd. Karim Gullam dan diadaptasi berdasarkan karya dalam buku kumpulan puisi yang mempunyai tajuk sama hasil karya Jasni sendiri.

Teater ini menampilkan pelakon dari ahli Badan Bahasa seperti Nim Yorza, Jasni Yakub, Juri Durabi, James Taling, Duliam Suari, Nordin Zainal Abidin, Amini Gawis, Norhayati Tasif, Maznah Sulaiman, dan turut dibantu oleh beberapa pelatih dari IPG Kampus Gaya sendiri. – Harian Ekspress

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top