KOTA KINABALU: Keputusan untuk menyekat mahupun melarang penyertaan umat Islam dalam festival Bon Odori tidak harus dilakukan secara terburu-buru, kata bekas menteri komunikasi dan multimedia persekutuan Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
Beliau berkata, sebaliknya, program kebudayaan itu harus dilihat dari sudut berbeza yang ternyata memberikan impak positif kepada masyarakat.
Katanya, kepelbagaian yang wujud harus diraikan dan sebarang keputusan tidak boleh dilakukan secara melulu tanpa membuat pemerhatian terlebih dahulu.
“Saya menjunjung titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah agar Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tidak menyekat program kebudayaan Jepun Bon Odori di Shah Alam pada 16 Julai ini.
“Seharusnya kita melihat program kebudayaan tersebut dari sudut berbeza yang ternyata memberikan impak positif kepada masyarakat.
“Justeru, keputusan untuk menyekat mahupun melarang penyertaan muslim janganlah dibuat dengan terburu-buru. Ia selaras dengan titah Tuanku yang berpendirian, ‘banyak budaya mempunyai kaitan dengan agama, tetapi tidak semestinya agama ada dalam budaya’,” katanya sebagaimana dilaporkan FMT yang memetik hantaran beliau di Facebook.
Sultan Sharafuddin semalam bertitah supaya Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tidak menyekat penganjuran festival Bon Odori serta menghalang mana-mana individu untuk menyertainya.
Baginda turut mengarahkan pegawai Jais dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk menghadiri festival berkenaan bagi “melihat sendiri” apa yang berlaku.
Pada 6 Jun lalu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad, berkata kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendapati festival itu mempunyai unsur keagamaan lain.
Kenyataan itu turut disambut Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Nor menasihatkan umat Islam tidak terlibat kerana dibimbangi membawa kepada perbuatan syirik.