Felo SMJ Diseru Tingkat Potensi Diri

jahid-1-1.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Felo Sabah Maju Jaya (Felo SMJ) diseru untuk menyahut cabaran bagi meningkatkan lagi potensi diri agar mampu menjadi pelapis serta pewaris kepimpinan negeri Sabah.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata, program di bawah Kementerian Belia Dan Sukan Sabah (KBSS) itu merupakan satu peluang keemasan kepada peserta yang terpilih untuk menunjukkan bakat dan kebolehan yang ada pada mereka.

“Dalam tempoh enam bulan ini, teruslah ambil seberapa banyak ilmu baharu, dan gunakan sepenuhnya segala bakat dan kemahiran yang ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Sesi Libat Urus Dan Majlis Iftar Bersama Felo SMJ, anjuran bersama Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLBS) di Dewan Balambangan, Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini kelmarin.

Hadir sama, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Harun Durabi dan Samad Jambri, dan Setiausaha Tetap KPLBS, Datuk Faimin Kamin.

Jahid berkata, beliau percaya peserta yang dipilih merupakan bakal pemimpin yang mempunyai kemahiran sama ada dari segi komunikasi, personaliti yang sopan dan penulisan profesional, kerana inilah antara kriteria yang penting untuk menjadi pemimpin.

Katanya, program Felo SMJ diadakan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Sekretariat Hala Tuju SMJ, Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (Ikrar) serta Majlis Belia Sabah (MBS).

“Ianya juga bertujuan melahirkan kelompok belia yang berkemahiran aras tinggi sebagai peneraju kepimpinan negeri Sabah pada masa akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memberi kata-kata semangat kepada semua Felo, untuk terus berusaha agar berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan orang lain.

“Jika kamu gagal sekali dalam perjalanan hidup, itu bukan pengakhiran sesuatu perjalanan, tetapi gagal itu adalah sebuah perjalanan yang paling berharga menuju kejayaan,” katanya.

Beliau juga menasihati anak-anak muda tersebut untuk mengenali kekuatan diri mereka, sentiasa bersikap terbuka, dan membuka minda mengenai keadaan-keadaan yang berlaku pada masa kini.

“Bukan mendahului takdir, tapi saya dapat rasakan, dengan kemahiran dan keupayaan yang ada, semua kamu berpeluang untuk mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian dengan pengalaman kamu kelak.

“Ditambah dengan kepercayaan agama masing-masing, sudah pasti semua itu akan dipermudahkan dan diberi petunjuknya,” katanya.

Sepanjang program tersebut, kesemua Felo telah diberi peluang untuk mengajukan persoalan kepada Menteri dan Pembantu Menteri, selain berpeluang mendengar sendiri perkongsian Jahid mengenai perjalanan karier politik beliau.

Untuk rekod, Program FELO SMJ merupakan antara inisiatif bagi memperkasakan pembangunan modal insan dan akan dijalankan di bawah Inkubator Kepimpinan Belia Sabah (IKEBS).

Antara kriteria pemilihan mereka adalah terlibat secara aktif dalam aktiviti kemasyarakatan, kesukarelawanan dan kepimpinan di peringkat negeri, kebangsaan ataupun antarabangsa, serta berpengetahuan luas dan bersedia untuk berkhidmat kepada pembangunan Negeri Sabah.

Program tersebut dijangka akan memberi banyak manfaat kepada pembangunan negeri ini sekaligus menjadi medium kepada belia untuk menjadi pemimpin pada masa hadapan.

Seramai 24 peserta dipilih sebagai kumpulan pertama untuk program bimbingan dan pembelajaran langsung selama enam bulan di 12 kementerian di negeri ini.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top