KOTA KINABALU: Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS) yakin pengalaman luas Yang Dipertua Negeri yang baharu Tun Musa Aman sebagai bekas Ketua Menteri akan memimpin Sabah dengan lebih maju dan sistematik.
Presiden FCAS Tan Sri T.C Goh berkata, dengan sokongan serta kerjasama penuh kerajaan negeri, pelantikan Musa mampu membawa Sabah mencapai visi kemajuan dan kemakmuran serta memastikan keamanan dan kesejahteraan rakyat.
Beliau mengalu-alukan dan mengucapkan tahniah kepada Musa atas pelantikannya sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah ke-11 berkuat kuasa 1 Januari 2025.
Katanya, pelantikan itu pastinya mengutamakan perpaduan dalam kalangan rakyat di bawah kerangka sistem berperlembagaan dan demokrasi.
“Ia turut mengekalkan kestabilan politik yang tetap menjadi keutamaan dalam proses tadbir urus dan pembangunan Sabah,” katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.
Goh, yang juga Presiden Gabungan Persatuan Hokkien Sabah dan Labuan (FHASL) menyifatkan Musa yang berusia 73 tahun sebagai seorang pemimpin yang memiliki pengalaman luas dalam politik dan pentadbiran.
Menurutnya, pencapaian yang dimiliki Musa turut membuktikannya sebagai seorang pemimpin yang mempunyai pengalaman mendalam dalam pentadbiran dan kepimpinan.
Dalam pada itu, pihaknya merakamkan penghormatan dan ucapan terima kasih kepada Tun Juhar Mahiruddin yang bakal menamatkan perkhidmatannya sebagai Yang Dipertua Negeri pada 31 Disember ini.
Katanya, sumbangan cemerlang Juhar sepanjang tempoh perkhidmatannya meninggalkan kesan yang mendalam kepada sejarah. – Utusan Borneo