Fasa Satu Kawalan Pergerakan Kekal, Bantuan Diumum Isnin Atau Selasa

muhyiddin.jpg
Kongsi Bersama

PKP tidak tamat esok dan fasa pertama pelan pemulihan negara akan dilanjutkan sehingga nilai ambang kurang 4,000 kes, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Ini memandangkan kriteria sasaran untuk beralih ke fasa berikutnya masih belum dipenuhi.

Muhyiddin juga berkata kerajaan akan mengumumkan bantuan lebih menyeluruh kepada semua kumpulan masyarakat pada Isnin atau Selasa ini, lapor Bernama.

PKP kali ini mula berkuat kuasa pada 1 Jun lalu. Dijadual selama dua minggu, ia kemudian dilanjutkan sehingga esok (28 Jun).

Menurut pelan pemulihan negara, peralihan dari Fasa 1 sekatan pergerakan penuh hanya akan dilakukan sekiranya tiga sasaran utama tercapai.

Kriteria utama untuk memasuki Fasa 2 adalah kes harian Covid-19 di bawah 4,000; Kapasiti katil unit rawatan rapi (ICU) berada pada tahap “sederhana”; dan 10 peratus penduduk sudah diberi vaksin sepenuhnya.

Namun demikian, purata tujuh hari untuk kes Covid-19 setakat hari ini adalah 5,351, sementara jumlah pesakit di ICU hari ini (866) hampir sama tinggi ketika sekatan penuh mula berkuat kuasa pada 1 Jun (872).

Bilangan pesakit Covid-19 yang meninggal dunia pada bulan ini saja pula seramai 2,088 orang.

Peralihan ke fasa ketiga akan berlangsung selepas purata kes harian tidak lebih 2,000, kapasiti unit rawatan rapi (ICU) mencukupi dan 40 peratus rakyat Malaysia mendapat dos vaksin penuh. Ia dijangka dapat dicapai pada bulan September.

Semalam, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata pengumuman mengenai moratorium pinjaman dan pengeluaran wang dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui kemudahan i-Sinar akan dibuat tak lama lagi.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top