HULU LANGAT: Datangnya berseorangan dan bersahaja, tersenyum sambil menyapa mesra sekumpulan mangsa banjir yang sedang bertungkus-lumus membersihkan rumah.
Sambil dia berjalan melihat kawasan di sekeliling lokasi banjir di sini, dia bertanya apa bantuan yang diperlukan penduduk setempat.
Peralatan yang dihulurkan oleh individu yang hanya dikenali sebagai ‘Farouk’ itu kebanyakannya baharu dibeli – penyembur air jet, penyodok pasir serta but kuning persis karakter ‘Phua Chu Kang’.
“Farouk” datang dari mana tidak diketahui.
Apabila ditanya, “Farouk” menjawab yang dia bergerak secara individu dan bukan dari mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) atau badan sukarelawan.
Itu antara pengalaman yang dikongsi seorang mangsa banjir di Batu 18, Kampung Jawa, Hulu Langat di sini, Siti Nabila Abd Jalal, 29, ketika ditemui Astro AWANI di sini pada Rabu.
Banjir yang melanda lapan negeri pada musim monsun timur laut tahun ini, menyaksikan lebih 41,000 orang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS), dengan Selangor menjadi negeri paling teruk terjejas sehingga sesetengah kawasan boleh diibaratkan seperti dilanda tsunami.
Gambar-gambar yang dikongsikan netizen di media sosial memaparkan banyak ‘kemusnahan’ dengan kenderaan ditenggelami air, dan tidak kurang juga beberapa rumah dihanyutkan iaitu di Hulu Langat dan Kampung Bandar Tinggi, Kuala Klawang Negeri Sembilan.
Siti Nabila terus berkongsi pemerhatiannya ke atas insan yang bernama Farouk ini dengan penuh rasa rendah diri.
“Dia melihat sekeliling rumah kami yang penuh dengan pasir dan selut dari limpahan sungai sebelum dia pergi mencari jentolak dan membayar upah kepada pemandu jentolak untuk membersihkan pasir yang cukup tebal.
“Bila kami bertanya kenapa datang untuk menolong? Farouk bersahaja menjawab dia begitu tersentuh dengan keadaan di Kampung Jawa, Kampung Sungai Lui antara yang teruk kena dengan banjir kali ini,” kata Siti Nabila.
Kawasan ini cukup terkenal sebagai destinasi bagi mereka yang gemarkan aktiviti mendaki, apatah lagi kawasan Hulu Langat ini begitu strategik dan penuh dengan laluan bukit dan gunung untuk sampai ke beberapa air terjun yang sering pendaki-pendaki gambarkan sebagai ‘majestic’.
Antaranya Air Terjun Sungai Lepoh, Air Terjun Perdik, dan Air Terjun Jeram Perlus.
Namun, kali ini keindahan gunung dan hutan di kampung berkenaan “dikejutkan” dengan banjir deras di luar jangkaan mencapai sehingga paras dua meter.
Kampung Sungai Lui, Kampung Jawa, Taman Seri Nanding dan kawasan lain di sekitar Hulu Langat, antara kawasan yang terjejas teruk mengakibatkan majoriti penduduk di situ terpaksa memanjat ke bumbung rumah kerana paras air tinggi dan diluar jangkaan.
“Saya dan keluarga terpaksa memanjat ke ruang di antara siling dan atap kerana air yang merempuh, mengakibatkan dinding terkopak.
“Rumah makcik sebelah yang hanya tinggal struktur tangga batu sahaja (dan baru-baru ini viral) … rumah itu telah dihanyutkan arus deras dan melanggar rumah kami,” katanya lagi.
Awalnya, Siti Nabila enggan menceritakan kembali peristiwa yang berlaku pada Ahad lepas itu, kerana terlampau trauma.
Namun, berbekalkan kudrat yang ada dia masih mampu memperincikan kejadian yang terjadi dan langkah pasca banjir kelak.
Hidup perlu diteruskan, katanya. Rasa syukur tidak terhingga itu ada kerana hanya harta benda yang dihanyutkan, bukan nyawa dirinya dan keluarga tercinta.
Katanya, dengan wujudnya sukarelawan yang hadir persis hero tidak didendangkan seperti individu bernama Farouk itu, Siti Nabila merasakan dirinya perlu terus bersyukur dan lebih cekal meneruskan kehidupan.
“Macam rumah arwah nenek ini, dah kira total loss. Harapnya, kalau ada pengurusan bencana datang, mereka perlu buat penilaian menyeluruh dan beri bantuan yang sewajarnya,” tambahnya.