FAMA Bakal Naik Taraf Pasar Tamu Beluran

Dr-Kiandee-Tamu-Beluran.jpg
Kongsi Bersama

BELURAN: Projek menaik taraf Pasar Tamu Beluran dijangka siap pada pertengahan Mei 2022.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (gambar, dua dari kiri) berkata, projek tersebut merupakan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) melibatkan peruntukan sebanyak RM746,000 di bawah sumber peruntukan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

“Usaha berterusan oleh FAMA dalam usaha mentransformasikan gerai-gerai di pasar tamu ini akan memberikan manfaat kepada 170 peserta sedia ada.

“Selain itu, kita berharap agar ia dapat memberikan keselesaan kepada pengunjung di daerah ini serta membantu pengusaha-pengusaha kecil bagi memasarkan hasil keluarkan mereka sendiri.

“Setelah siap dinaik taraf, pentadbiran pasar tamu ini akan diserahkan kepada Majlis Daerah Beluran,” katanya selepas Lawatan Kerja ke Projek Naik Taraf Pasar Tamu Beluran di sini, hari ini.

Dr. Ronald berkata, dua buah pasar tamu di negeri ini telah dinaik taraf iaitu Pasar Tamu Sook, Keningau dan Pasar Tamu Kudat manakala Pasar Tamu Kunak masih lagi dalam proses pembinaan yang dijangka siap pada Mac 2022.

Tambah beliau, FAMA juga telah mengenalpasti tapak Pasar Tamu Tuaran sebagai lokasi untuk dinaik taraf pada tahun 2022 dan ia telah dipersetujui oleh pihak Majlis Daerah Tuaran.

Terdahulu, Dr. Ronald turut berkesempatan menyampaikan sumbangan MAFI Prihatin kepada 500 penduduk di tiga pulau iaitu Pulau Kaniogan Beluran, Pulau Bukit Besi dan Pulau Tetabuan yang terjejas akibat pandemik Covid-19 di Jeti Pekan Beluran.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah FAMA, Datuk Zainal Abidin Yang Razali (gambar, dua dari kanan).


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top