Fairuz Ingatkan Warisan Supaya Berhenti Berpolitik, Fokus Bangunkan Sabah

fairuz.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Fairuz Renddan mengingatkan Presiden Parti Warisan (Warisan) supaya berhenti berpolitik.

“Cukuplah tu, rehatlah, mari kita semua sama-sama bekerja untuk Sabah, untuk rakyat dan negeri ini.

“Tidak perlu bergaduh, tidak perlu bersengketa dan tidak perlu bermadah jika hanya bertujuan untuk buat rakyat kita kusut,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Fairuz, yang juga ADUN Pintasan itu berkata, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mendakwa kerajaan pimpinan GRS-Barisan Nasional (BN) tergugat susulan tindakan pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah keluar parti.

Kenyataan Mohd. Shafie sebegitu disifatkan tidak wajar kerana ketika ini kerajaan GRS mahu memberi fokus dan bekerja untuk rakyat.

“Kita mahu suara rakyat diangkat dan dibawa sama ada di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen.

“Tidak terlintas dalam fikiran kita untuk membawa kepentingan peribadi hingga menggugat keutuhan serta kestabilan Sabah,” katanya.

Pembantu Menteri Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan itu berkata, kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor akan terus fokus kepada hala tuju pembangunan negeri dan rakyat.

“Janganlah baling batu sembunyi tangan untuk bercakap tentang kestabilan negeri jika ada niat disebaliknya.

“Jangan cuba menggugat kestabilan dan keutuhan politik di negeri ini dengan kenyataan-kenyataan yang menuduh dan memburukkan kepimpinan GRS.

“Kita tidak akan terjejas dan tergugat, kita tidak ada niat untuk memusnahkan segala usaha pembangunan dan kemajuan yang telah dikecapi di Sabah,” katanya.

 

Berita asal: UTUSAN

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top