KUALA LUMPUR: Bekas ahli PKR dan Umno Datuk Ezam Mohd Noor dilantik sebagai timbalan presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM).
Pelantikan Ezam diputuskan sebulat suara oleh jawatankuasa pusat parti itu pada 11 Dis.
PRM dalam satu kenyataan berkata, parti itu berharap pengalaman dan kepimpinan Ezam akan membawa mereka ke tahap yang lebih tinggi.
Sejak kali terakhir menang kerusi parlimen pada 1959, walaupun PRM sentiasa aktif berpolitik namun parti itu gagal mendapat sebarang kerusi pada setiap pilihan raya umum berikutnya.
Ezam, 55, bekas aktivis era reformasi meninggalkan PKR pada tahun 2007.
Pada 28 Mei 2008, Ezam memohon menyertai semula parti UMNO setelah menyerahkan borang keahlian dan yuran sebanyak RM100 untuk menjadi ahli seumur hidup kepada Presiden UMNO Datuk Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi.
Pada 2 Oktober 2016, beliau mengumumkan keluar Umno buat kali kedua.
Semasa pilihan raya 19 Nov lalu, Ezam antara 16 calon PRM untuk bertanding di kerusi parlimen. Semua calon PRM hilang deposit. Ezam sendiri hanya mendapat 2049 undi di Parlimen Petaling Jaya, jauh di belakang pemenang, Lee Chean Chung (Pakatan Harapan) yang mendapat 83311 undi.