PAPAR: Jawatankuasa Eksekutif Pusat Wanita Parti Bersatu Sabah (PBS) telah menyumbangkan bantuan makanan kepada 60 keluarga yang memerlukan dan mereka yang terjejas oleh banjir di Kampung Sulim, Kinarut, di sini pada Selasa.
Ketua Wanita PBS, Datin Malianah Ugau yang mengetuai rombongan Exco Wanita semasa program turun padang melahirkan rasa simpati dan prihatin khususnya terhadap kebajikan penduduk kampung yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.
Beliau memberitahu wakil kampung bahawa usaha pasukan outreach (jangkauan luar) Exco Wanita adalah untuk membawa mesej kepada mereka bahawa kesejahteraan penduduk kampung sentiasa di hati dan fikiran kepimpinan parti.
Beliau juga mengambil peluang itu untuk menggalakkan lebih ramai wanita mengambil peranan yang lebih proaktif dalam perkhidmatan masyarakat dan mengambil bahagian dalam aktiviti parti.
Ketua Bahagian PBS Limbahau, Datuk Johnny Mositun, yang turut hadir untuk menerima bantuan makanan tersebut memaklumkan kepada pasukan outreach Exco Wanita itu bahawa penduduk kampung yang terjejas telah menerima pelbagai sumbangan bantuan daripada rakan-rakan lain dalam parti itu selepas banjir tersebut; seperti yang diarahkan oleh Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili untuk memastikan penduduk kampung mendapat bantuan secukupnya tanpa mengira fahaman politik mereka.
Penasihat Exco Wanita PBS, Puan Sri Genevie Kitingan turut hadir.