Ewon Tekad Laksana Mandat Rakyat Penampang Dengan Sebaiknya

ewon-1.jpg

Kredit foto: Nabalu News

Kongsi Bersama

PENAMPANG: Ahli Parlimen Penampang yang baharu Datuk Ewon Benedick mewakili Pakatan Harapan (PH) berkata, beliau akan melaksanakan sepenuhnya tanggungjawab besar yang diberikan rakyat Penampang pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Mandat yang diberikan ini satu amanah yang besar dan saya harus bekerja keras untuk melaksanakan apa yang dikehendaki rakyat Penampang secara keseluruhannya,” katanya sebagaimana dilaporkan oleh Nabalu News.

Menurut Ewon sejurus selepas kemenangannya beliau menerima panggilan daripada calon parti Warisan Datuk Darell Leiking, mengucapkan tahniah kepadanya dan PH.

“Saya mengatakan kepada beliau, bahawa beliau masih Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Moyog dan saya berharap dapat bekerjasama untuk bersama-sama membina Penampang seperti yang dikehendaki rakyat Penampang.

“Sudah semestinya saya mengambil mandat yang diberikan ini sebagai satu amanah yang besar untuk rakyat Penampang,” katanya.

Ewon yang juga bakal Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua rakyat Penampang yang mengambil bahagian dalam proses demokrasi dengan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

“Sebagai calon PH saya mengucapkan jutaan terima kasih atas sokongan undi dan mandat yang diberikan kepada kami di Pakatan Harapan.

“Terima kasih juga kepada para petugas pilihan raya termasuk badan penguatkuasa undang-undang dan semua petugas sepanjang kempen pilihan raya ini.

“Begitu juga dengan jentera PH Penampang, jutaan terima kasih atas kerjasama sebagai satu pasukan dalam kempen ini menjelaskan Tawaran PH dan isu-isu yang dibincang sepanjang kempen ini.

“Kepada calon-calon dari parti lain yang bertanding di Parlimen Penampang, terima kasih kerana menunjukkan satu kempen yang sangat baik,” katanya.

Ewon yang juga Adun Kadamaian menang dengan majoriti 14,410 undi menewaskan tiga pencabar lain iaitu Timbalan Presiden Warisan Darell, Kenny Chua calon dari Gabungan Rakyat Sabah/ Barisan Nasional (GRS/ BN) dan Richard Jimmy (Bebas).

Ewon memperolehi sebanyak 29,066 undi, Darell (14,656 undi), Kenny (6,719 undi) dan Richard (289 undi).

Parlimen Penampang mempunyai sebanyak 77,214 pengundi berdaftar pada PRU15 yang majoritinya kaum Kadazandusun. Jumlah peratusan keluar mengundi sebanyak 66.46 peratus.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top