Ewon mahu penduduk Kadamaian daftar PADU, sediakan peruntukan RM32 ribu ‘flying squad’ UPPM

EWON-1.jpg

Datuk Ewon Benedick (Gambar fail)

Kongsi Bersama

KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick menggesa penduduk di seluruh Kadamaian untuk mendaftar dan mengemaskini maklumat di Pangkalan Data Utama (PADU).

Beliau berkata, pendaftaran PADU sangat penting supaya tiada rakyat yang tercicir dalam program bantuan kerajaan yang akan menggunakan data di PADU.

“Selaku Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, saya terlibat membuat keputusan memperkenalkan PADU di Majlis Tindakan Ekonomi Negara dan Kabinet Persekutuan. Tujuannya adalah menyelaras data-data rakyat sedia ada di pelbagai jabatan dan agensi Kerajaan untuk digunakan bagi penyasaran semula subsidi dan penyaluran bantuan kerajaan seperti sumbangan tunai rahmah, subsidi elektrik dan sebagainya.

“Justeru, selaku ADUN Kadamaian, saya tidak mahu melihat ada rakyat di sini yang tercicir daripada bantuan kerajaan kerana mereka tidak mendaftar dengan PADU.

“Saya mengarahkan kedua-dua pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian menjadi ‘flying squad’ membantu urusetia PADU Kota Belud turun ke kampung-kampung bagi mendaftarkan penduduk. Saya sediakan peruntukan RM32,000 daripada touchpoint ADUN untuk tujuan ini,” katanya.

Ewon berkata demikian semasa menyampaikan amanat dalam sesi taklimat pendaftaran PADU kepada Ketua-Ketua Kampung dan Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Kemajuan Kampung (JPKK) Kadamaian di Pusat Khidmat ADUN Kadamaian, di sini, semalam.

Turut hadir dalam sesi taklimat tersebut ialah PPM Kadamaian Demis Rumanti dan Saikom Watis serta Penyelaras PADU Kota Belud Jamrus Iman.

Ewon turut menyatakan harapan agar Ketua-Ketua Kampung dan Pengerusi-Pengerusi JPKK membantu flying squad tersebut untuk mendaftarkan penduduk di kampung masing-masing.

“Kita memerlukan kerjasama semua pihak bagi memastikan tiada rakyat Kadamaian tercicir dalam program bantuan kerajaan. Peranan Ketua Kampung dan Pengerusi JPKK sangat penting bagi mencapai tujuan ini dan mesti membantu urusetia PADU dan flying squad UPPM yang kita tubuhkan bagi gerakan pendaftaran PADU di seluruh Kadamaian,” katanya. – Jesselton Times

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top