Ewon Kemukakan Pelan Pembangunan Kadamaian Kepada Hajiji

ewon-1.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick semalam mengemukakan Pelan Induk Pembangunan Kadamaian, 2020-2035 kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Menurut Ewon, pelan tersebut telah disediakan oleh Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah dengan kerjasama Pejabat Daerah Kota Belud dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian dan mengambil masa selama enam bulan untuk disiapkan pada tahun 2019.

Dalam pertemuan dengan Ketua Menteri tersebut, Ewon menyatakan harapan dan gesaan agar Kerajaan Negeri meneruskan komitmen kerajaan terdahulu menggunakan pelan induk tersebut sebagai panduan, rujukan dan asas kepada dasar dan rancangan pembangunan Kerajaan bagi kawasan DUN Kadamaian.

“Pelan ini menggunakan dana peruntukan ADUN sebanyak hampir RM70,000 untuk disiapkan oleh agensi penyelidikan pembangunan Kerajaan Negeri selepas menjelajah ke setiap kampung dalam kawasan DUN Kadamaian dan juga konsultansi dengan pemegang-pemegang taruh seperti jabatan Kerajaan dan badan bukan kerajaan.

“Selaku ADUN Kadamaian, saya berharap Kerajaan hari ini juga meneruskan komitmen pembangunan bagi kawasan DUN Kadamaian berdasarkan kepada pelan induk ini. Tugas saya selaku Wakil Rakyat adalah memastikan perancangan pembangunan komprehensif yang terancang dan tersusun. Justeru, saya berharap pelan induk akan terus menjadi panduan dan rujukan penting kepada Kerajaan untuk merancang dan melaksanakan pembangunan di Kadamaian,” katanya.

“Saya gembira kerana Ketua Menteri menghargai usaha dan inisiatif saya sebagai antara Wakil Rakyat yang telah berjaya mengadakan pelan terancang pembangunan kawasan. Saya yakin beliau akan turut melihat kerangka pembangunan Kadamain berdasarkan kepada pelan induk ini,” katanya lagi.

Terdahulu, Ewon bersama-sama dengan pimpinan Pakatan Harapan Sabah telah mengadakan perjumpaan dengan Hajiji bagi mengemukakan syor-syor Agenda Reformasi Sabah.

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top