KOTA KINABALU: Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick menegaskan keutamaannya kini adalah untuk menjalankan tanggungjawab sebagai ketua Pakatan Harapan (Sabah) berdasarkan mandat yang diberi kepadanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan pihak-pihak tertentu dalam PKR Sabah yang mempertikaikan pemilihannya sebagai pengerusi PH di negeri ini.
“Ramai pemimpin telah mengulas mengenai perkara itu jadi saya tidak mahu menambahnya. Saya mahu meneruskan dan melaksanakan mandat dengan sebaik mungkin,” katanya sebagaimana dilapor Utusan Borneo semalam.
“Sekiranya ada yang masih tidak berpuas hati, dalam tempoh dua tahun pemilihan semula akan dibuat, itu adalah masa terbaik untuk mereka menilai kepimpinan saya,” dia dipetik sebagai berkata.
Pada 25 Dis, seorang pemimpin PKR Sabah dilaporkan berkata bahawa jawatan pengerusi PH negeri adalah hak milik PKR, berdasarkan formula yang telah dipersetujui dan dipatuhi oleh komponennya.
Pemimpin PKR itu, yang enggan namanya disiarkan, berkata jawatan itu sepatutnya tidak dipertandingkan dari awal, sambil menambah bahawa pemilihan yang diadakan awal bulan ini adalah kali pertama seumpamanya diadakan sejak PH Sabah ditubuhkan pada 2017.
Pemimpin itu berkata, secara tradisinya, rakan PH Sabah, PKR, DAP, UPKO dan Amanah, akan menamakan seorang pemimpin PKR untuk mempengerusikan gabungan negeri itu.
Pada pemilihan baru-baru ini Ewon berjaya menewaskan Datuk Christina Liew yang menduduki kerusi pengerusi PH Sabah sejak 2017.
Dua minggu kemudian, Liew berkata perbincangan sedang diadakan mengenai kemungkinan dia kembali sebagai pengerusi PH Sabah, sambil menambah bahawa perbincangan diadakan dengan presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ahli majlis pimpinan negeri.
Ketua DAP Sabah Datuk Phoong Jin Zhe bagaimanapun mempertahankan pemilihan Ewon ke jawatan itu dan menafikan terdapat peraturan menetapkan jawatan pengerusi PH negeri mesti dipegang oleh PKR.