Ewon dan Jin Zhe Kemuka Usul Perkasa Bidang Kuasa Kerajaan Negeri Dalam Kesihatan

ewon-n-jin-zhee.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Ewon Benedick dan Adun Luyang Phoong Jin Zhe telah mengemukakan usul khas bagi sidang Dewan Undangan Negeri bagi memperkasakan bidang kuasa Kerajaan Negeri mengenai isu kesihatan.

“Dengan peningkatan kes jangkitan Covid-19, jumlah kematian bertambah, kadar vaksinasi yang rendah dan lembab, kemudahan wad yang kritikal dan pelaksanaan SOP yang gagal mengawal penularan pandemik ini, maka kami merasakan sidang dewan undangan negeri perlu menjadi platform untuk Adun-Adun merumuskan penambahbaikan urustadbir kesihatan di Sabah.

“Justeru kami berdua telah mengemukakan usul di bawah Peraturan Tetap 31 (2) agar satu enakmen baharu berkaitan pengawalan penyakit di Sabah perlu digubal dan diwartakan oleh Dewan Undangan Negeri. Ini akan memberi bidang kuasa yang lebih baik kepada Kerajaan Negeri dalam menguruskan pandemik ini dan juga hal-hal berkaitan kesihatan yang berkaitan,” kata Ewon dan Jin Zhe.

Menurut mereka berdua, Ordinan Kesihatan Awam Sabah 1960 tidak mencakupi perkara berkaitan pengawalan penyakit berjangkit menyebabkan Kerajaan Negeri tidak mempunyai autoriti untuk melaksanakan SOP sendiri.

“Di bawah Senarai III – Jadual Bersama Perlembagaan Persekutuan, perkara berkaitan kesihatan awam, kebersihan dan pencegahan penyakit merupakan senarai bersama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Negeri tidak boleh terus bergantung kepada Kerajaan Persekutuan sedangkan ia mempunyai ruang perundangan yang ada dalam perlembagaan untuk memperkasakan autoriti sendiri.

“Jika Kerajaan Negeri mempunyai enakmen ini, bukan hanya dalam perkara berkaitan pewartaan SOP tetapi juga program kesihatan dan kemudahan infrastruktur kesihatan dapat diurustadbir dengan lebih baik berbanding sekarang ini,” kata mereka.

Menurut mereka lagi, Kerajaan Negeri juga boleh menyediakan sejumlah belanjawan kesihatan sendiri atau merangka belanjawan melalui jaminan persekutuan supaya kemudahan infrastruktur kesihatan dapat dibangunkan dengan cepat termasuk menjayakan program-program kesihatan lain seperti pemberian vaksin, doktor bergerak dan sebagainya.

“Kami telah menghantar usul ini pada 16 Ogos, iaitu hari terakhir menghantar usul bagi sidang DUN asalnya dijadualkan pada 24 – 26 Ogos yang ditangguhkan ke 21 – 23 September. Kami berharap usul ini dapat dibahaskan pada sidang tersebut.

“Kami juga merancang untuk mengemukakan usul-usul khas dalam setiap persidangan DUN yang akan datang berkaitan dengan isu-isu yang menjadi keprihatinan utama rakyat Sabah, agenda reform dan penambahbaikan autonomi Kerajaan Negeri.

“Kami akan berbincang dengan rakan-rakan Adun samada dalam blok pembangkang atau blok kerajaan agar menjadikan DUN sebagai platform terbaik mengangkat penyelesaian banyak isu tertunggak di Sabah,” kata mereka.

Ewon merupakan Naib Presiden UPKO, manakala Jin Zhe merupakan Ketua DAPSY Sabah. Kedua-duanya berkhidmat dalam jemaah menteri kerajaan terdahulu. – Jesselton Times


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top