ESSCOM usul tukar warna peta, nama ESS ZONE

Victor-Sanjos-ESSCOM.jpg

Komander ESSCOM Datuk Victor Sanjos (Gambar fail/Bernama)

Kongsi Bersama

KINABATANGAN: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) mengusulkan kepada kerajaan untuk menamakan semula Zon Selamat Timur Sabah (ESS ZONE) kepada kawasan kesejahteraan bagi meningkatkan keyakinan bahawa kawasan pantai timur Sabah itu selamat untuk semua.

Komander ESSCOM Datuk Victor Sanjos berkata pihaknya turut mengusulkan penukaran warna peta ESS ZONE yang kini menggunakan warna merah kepada putih.

“ESSCOM komited untuk mengangkat semula imej pantai timur Sabah sebagai kawasan selamat dan sejahtera ke peringkat antarabangsa.

“ESSCOM berusaha memanggil duta asing datang melawat ke kawasan pantai timur Sabah dan merasai sendiri keindahan dan kesejahteraan di ESS Zone,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Mengenai sesi libat urus ESSCOM bersama komuniti ESS ZONE daerah Kinabatangan, beliau berkata program itu diadakan bagi meneliti penerimaan masyarakat dan kumpulan sasar dalam sektor perdagangan, perniagaan, perikanan, pelancongan serta pendidikan terhadap langkah penjenamaan semula perintah berkurung kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ESS Zone Sabah.

“Kajian itu turut meneliti mekanisme alternatif bagi menggantikan arahan tersebut sekiranya diputuskan untuk dimansuhkan pelaksanaannya kelak dan penduduk yang hadir diharap supaya menjawab soal selidik mengenai kajian PKP ESS ZONE Sabah agar mendapat hasil yang komprehensif untuk manfaat Sabah dan Malaysia, amnya,” katanya lagi.

Sementara itu, Pegawai Daerah Kinabatangan Willey Lampaki mengingatkan warga Kinabatangan bahawa menjaga keselamatan negara ialah tanggungjawab semua rakyat Malaysia.

“Kajian PKP ESS Zone Sabah dilaksanakan oleh Kementerian Dalam Negeri, diselaraskan oleh ESSCOM dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) turut diadakan di lima lagi daerah terlibat PKP ESS Zone Sabah iaitu Semporna, Sandakan, Beluran, Kunak dan Lahad Datu,” katanya. – BERNAMA

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top