Esscom Tahan 55 Pati, Rampas 69 Bot Pam

esscom.jpg

PASUKAN keselamatan memeriksa bot pam di kawasan Esszone dalam Operasi Gasak Laut. FOTO Ihsan Esscom

Kongsi Bersama

LAHAD DATU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) menahan seramai 55 pendatang asing tanpa izin (Pati) dan merampas 69 pam bot dalam Operasi Gasak Laut secara serentak dan bersepadu di perairan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone), semalam.

Operasi yang bermula kira-kira 6 pagi dan berakhir 6 petang tadi itu dilaksanakan meliputi empat daerah iaitu Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

Komander Esscom Deputi Komisioner Hamzah Ahmad berkata, Operasi Gasak Laut bertujuan bagi membendung penyalahgunaan bot pam yang boleh menimbulkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan masyarakat.

Katanya, ketika pemeriksaan seramai 55 Pati yang terdiri daripada warga Filipina dan Indonesia didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Semua Pati ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 untuk siasatan lanjut oleh pihak Ibu Pejabat Polis Daerah yang berkaitan.

“Selain itu, sebanyak 88 bot pam milik warga tempatan serta warga asing diperiksa secara serentak di semua perairan berkenaan dan 69 bot pam ditahan kerana melakukan kesalahan mengikut Enakmen Pelabuhan dan Dermaga 2002,” katanya dalam kenyataan media, pada Sabtu.

Menurutnya, semua bot pam yang dirampas itu diserahkan kepada Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, berdasarkan rekod tangkapan dan pemantauan pihak berkuasa mendapati bot pam sering digunakan elemen penjenayah rentas sempadan yang ingin melakukan aktiviti penculikan, rompakan, penyeludupan dan pengeboman ikan di perairan Esszone.

“Masyarakat juga boleh menyalurkan maklumat berkaitan sebarang insiden keselamatan di pantai timur Sabah ke Pusat Operasi Esscom di talian 089-863181 atau melalui aplikasi WhatsApp di talian 011-63311072,” katanya.- HMetro

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top