TAWAU: Seramai 18 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan daripada 187 individu yang diperiksa dalam Operasi Bersepadu Siri 2 di daerah Tawau, pada Khamis.
Kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63 untuk siasatan lanjut.
Komander Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), DCP Datuk Victor B Sanjos dalam satu kenyataan berkata, operasi bersepadu itu dijalankan di sekitar kawasan Jeti Awam Tawau dan Kampung Kurnia Jaya Batu 4 Apas.
“Sebanyak 103 buah kenderaan turut diperiksa oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan 41 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan,” katanya.
Beliau berkata, seramai 151 pegawai dan anggota daripada pelbagai jabatan dan agensi terlibat dalam operasi itu.
Mereka termasuklah Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, Batalion 14 dan Batalion 17 Pasukan Gerakan Am (PGA), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Pasukan Polis Marin (PPM), JPJ, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Seksyen Kawal Selia Padi dan Beras, Jabatan Air Negeri Sabah, Majlis Perbandaran Tawau dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Objektif utama operasi dijalankan adalah untuk memastikan keselamatan dan memelihara ketenteraman awam di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone), selain mengekang penyeludupan barang kawalan, bersubsidi, dan tidak bercukai serta menyekat kemasukan PATI,” katanya.
Tambahnya, kejayaan operasi ini merupakan usaha berterusan kerajaan melalui Operasi SANGGAH ESSCOM dan selaras dengan hasrat ESSCOM iaitu ‘Tiada Hari Tanpa Operasi’ bagi mengekang pencerobohan asing.
Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan insiden keselamatan di ESS Zone diminta untuk menghubungi Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863181 atau melalui aplikasi Whatsapp di talian 011-63311072.