ESSCOM rekod nilai rampasan sebanyak RM24 juta tahun lalu

ESSCOM.jpg

Victor (tengah) bersama semua pegawai ESSCOM bergambar sempena majlis perhimpunan berkenaan.

Kongsi Bersama

LAHAD DATU: Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) merekodkan sebanyak RM24 juta nilai rampasan menerusi Operasi Sanggah sepanjang tahun 2024.

Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata nilai rampasan tertinggi pada tahun lepas adalah membabitkan penyeludupan rokok, arak dan barang kawalan tidak bercukai dengan nilai RM18 juta.

Selain itu, katanya, lebih 2.1 juta pemeriksaan fizikal terhadap orang, kenderaan dan bot turut dilakukan sepanjang operasi berkenaan.

“Daripada pemeriksaan itu sebanyak 536 orang ditahan dan 227 buah kenderaan serta bot dirampas oleh pihak berkuasa atas pelbagai kesalahan.

“Seramai 97 individu bersama-sama 44 buah bot pula telah diusir daripada sempadan negara,” katanya ketika menyampaikan amanat Tahun Baharu 2025 sempena Majlis Perhimpunan ESSCOM 2025, kelmarin.

Dalam pada itu, Victor menyeru seluruh warga kerja ESSCOM supaya meneruskan momentum kerja sebagai satu pasukan dalam suasana gembira dan bersemangat kental.

Menurutnya, warga kerja ESSCOM juga diminta sentiasa meningkatkan usaha berlandaskan dasar dan polisi Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan negeri Sabah.

“Seruan itu adalah selaras dengan keazaman supaya Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) kekal selamat dan kesejahteraan komunitinya sentiasa terjamin.

“Selain itu, ia juga bagi membantu kerajaan mengekalkan keamanan melalui inisiatif keselamatan dan kesejahteraan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan mampan untuk Sabah terutamanya di kawasan ESSZONE,” katanya.

Victor berharap agar sinergi kerjasama yang baik sebegini, semua pihak terus kekal dan diperkukuhkan lagi pada tahun ini.

“ESSCOM akan terus komited menjadi benteng utama dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman awam serta memelihara kedaulatan wilayah Sabah.

“Kita akan terus melaksanakan Operasi Sanggah, Operasi Bersepadu, Gasak Darat dan Laut serta Operasi Khas bagi mengekang pencerobohan dan jenayah rentas sempadan,” katanya

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ESSCOM, Datuk Dr. Jamaluddin Mohd. Ali menyatakan bahawa tiga fokus utama Bahagian Awam ESSCOM untuk Tahun 2025.

Katanya, fokus pertama adalah memperkukuh kerjasama atau kolaborasi sama ada dalam pasukan ESSCOM sendiri mahupun dengan Jabatan dan agensi luar melalui kerjasama strategik.

“Fokus kedua, inovasi dan penambahbaikan kerana ancaman keselamatan yang dinamik mendorong kita menerima pakai teknologi baharu dan kekal selangkah ke hadapan.

“Fokus ketiga pula adalah yang paling utama iaitu memperkasa sesi libat urus bersama komuniti ESSZONE,” katanya.

Justeru, katanya, penting bagi warga ESSCOM untuk terus membina ukhuwah dengan komuniti ESSZONE supaya mereka berasa selamat dan disokong.

Turut hadir Timbalan Komander ESSCOM, Brigadier Jeneral Mohamad Ismail Kamarudin, Ketua-ketua Staf Keselamatan, Pengarah-pengarah Awam dan warga kerja ESSCOM. – Utusan Borneo

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top