KOTA KINABALU: Pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) merekodkan RM18.3 juta rampasan melalui operasi darat dan laut bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Jonathan Yasin berkata, bagi tempoh 1 Januari sehingga 20 Jun lalu, sebanyak 730,898 pemeriksaan dilaksanakan terhadap orang, kenderaan dan bot di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).
Beliau berkata, kejayaan yang direkodkan itu turut disumbangkan melalui koordinasi operasi udara ESSCOM membabitkan 377 rondaan penerbangan pesawat milik agensi-agensi keselamatan.
Menurutnya, ESSCOM juga sentiasa bersiap siaga untuk mengekang sebarang ancaman pencerobohan militan dan anasir luar di pantai timur Sabah melalui pelaksanaan operasi darat, laut dan udara ESSZone secara bersepadu dengan pasukan keselamatan di ESSZone serta perkongsian maklumat perisikan dengan pihak berkuasa Filipina.
“Saya amat yakin melalui inisiatif kawalan keselamatan yang diterajui ESSCOM, keamanan dan keselamatan di ESSZone akan kekal terjamin.
“Semua pihak swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat digalakkan untuk memberi kerjasama dan sokongan dengan melaporkan sebarang aktiviti yang mengancam keselamatan kepada pihak berkuasa,” katanya dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang semalam.