KUALA LUMPUR: Enam negeri yang masih belum membubarkan Dewan Undanga Negeri (DUN) dijangka akan mempertimbangkan pembubaran DUN masing-masing pada dua minggu terakhir Jun 2023.
Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, enam Menteri Besar dan Ketua Menteri secara ringkasnya telah mencapai kata sepakat untuk membubarkan DUN serentak yakni sekitar penghujung Jun ini.
“Alhamdulillah kami berenam mengambil kesempatan minum petang di Kuala Lumpur sempena Mesyuarat Majlis Raja Raja yang bersidang dua hari ini.
“Secara ringkas kami mencapai kata sepakat untuk mempertimbangkan pembubaran Dewan Undangan Negeri masing-masing dalam dua minggu terakhir Jun 2023.
Jelas Amirudin yang juga Ahli Parlimen Gombak itu lagi, persefahaman ini sudah pasti akan dimaklum serta dibincangkan di peringkat parti masing-masing sebelum dipersembah bagi tujuan perkenan Sultan, Yang Dipertuan Besar serta Tuan Yang Terutama Negeri masing-masing.
“Semoga persefahaman ini dapat mempermudahkan usaha rakyat untuk merayakan demokrasi kelak, InsyaAllah,” ucapnya dalam satu hantaran Facebook, semalam.
Terdapat perbincangan berterusan sejak Januari untuk mengadakan PRN secara serentak, antara lain akan memudahkan pelbagai pihak termasuk dari segi logistik.
Sebelum ini, pelbagai tarikh telah dicadangkan oleh setiap negeri.
Misalnya Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mencadangkan 1 Jun untuk pembubaran DUN, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pula menyebut 18 Jun, manakala Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah mencadangkan pembubaran automatik pada 26 Jun. – Suara TV