Enam Keluarga Di DUN Tanjung Batu Terima Kunci Rumah PPRT, Rumah Mesra SMJ

rumah-smj-andi.jpg

Suryady (tiga kanan) menyerahkan kunci rumah PPRT kepada salah seorang penerima. (Kredit foto: FB Andi Suryady)

Kongsi Bersama

TAWAU: Enam keluarga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Batu masing-masing menerima rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ), di sini semalam.

Empat daripada mereka adalah penerima rumah PPRT yang disediakan kerajaan pusat dan dua keluarga lagi menerima Rumah Mesra SMJ daripada kerajaan negeri.

Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, semua bantuan itu dilaksanakan bagi membantu rakyat untuk memiliki kediaman sendiri yang lebih selesa.

Katanya, inisiatif itu sudah pasti memberi kelegaan kepada rakyat terutamanya keluarga kategori miskin yang berdaftar dengan eKasih.

“Sebanyak 20 buah Rumah Mesra SMJ diperuntukan untuk DUN Tanjung Batu tahun ini, dua keluarga sudah menerima kunci dan 18 lagi masih dalam proses perolehan.

“Saya yakin, kerajaan negeri akan menambah lagi bilangan rakyat yang menerima Rumah Mesra SMJ ini pada masa akan datang,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kalabakan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu berkata demikian semasa menyerahkan kunci rumah PPRT kepada salah seorang penerima di Kampung Tanjung Batu Keramat, di sini petang semalam.

Menurutnya, kerajaan pusat diminta supaya dapat menyalurkan lebih banyak peruntukan untuk pembinaan rumah PPRT di negeri ini.

“Saya melihat di negeri ini terutamanya di pantai timur Sabah, ramai rakyat yang masih belum mempunyai kediaman sendiri dan tinggal di kawasan setinggan.

“Penempatan setinggan sudah tidak kondusif untuk rakyat dan kita harapkan peruntukan perumahan rakyat ini adalah jalan penyelesaian bagi menangani masalah pemilikan rumah di Sabah,” katanya.

Suryady berkata, rakyat yang kurang berkemampuan dan memenuhi syarat diharapkan dapat mengambil kesempatan ini untuk memohon perumahan PPRT atau Rumah Mesra SMJ.

Terdahulu, kerajaan negeri telah melancarkan Rumah Mesra SMJ secara rasminya pada 28 September tahun lalu.

Rumah tersebut dibina di semua 73 kawasan DUN menggunakan geran khas persekutuan sebanyak RM125.6 juta yang disalurkan kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar Negeri.

Sebanyak 1,500 Rumah Mesra SMJ akan dibina di seluruh kawasan DUN Sabah tahun ini dengan anggaran setiap rumah berharga RM70,000.

Turut hadir, Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Mohd Shoffian Mohd Said dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Saharudin Salleh. – Utusan Borneo

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top