Empat Lagi Pusat Produk IKS Akan Dibuka Tahun Ini

hajiji-ranau.jpg
Kongsi Bersama

RANAU: Empat Pusat Produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) akan dibuka tahun ini bagi membantu mempromosi serta menjual produk keluaran tempatan di Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, kerajaan akan membuka pusat berkenaan di Tawau, Keningau, Kota Marudu, dan Tuaran.

Katanya, satu lagi pusat yang sama di Papar kini sedang dibangunkan dan dijangka beroperasi dalam masa terdekat ini.

“Penubuhan empat pusat produk IKS itu adalah antara dua daripada inisiatif yang diguna pakai kerajaan untuk membantu usahawan produk IKS mempromosi dan menjual produk mereka.

Di bawah Belanjawan 2022, Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) memperuntukkan RM5.76 juta di bawah perbelanjaan perbekalannya untuk menubuhkan empat pusat produk IKS tahun ini.

“Saya berharap penubuhan lebih banyak pusat produk IKS akan membantu memastikan kejayaan kempen Belilah Barangan Buatan Sabah dan memberi impak kepada sektor peruncitan produk buatan tempatan,” katanya ketika melancarkan kempen itu di Kiaburi Plaza dekat sini pada Khamis. .

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian Datuk Dr Joachim Gunsalam, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Safar Untong, Timbalan Menteri Dalam Negeri II Datuk Jonathan Yasin dan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Shahelmey Yahya..

Pada masa ini, terdapat tiga pusat produk IKS yang beroperasi di Sabah iaitu di Wisma Tun Fuad Stephens Kota Kinabalu, di Beaufort serta terbaharu di daerah ini.

Hajiji juga berkata inisiatif lain yang dilaksanakan kerajaan ialah program memasarkan produk IKS Sabah di mana DIDR bekerjasama dengan Pasaraya Bataras, yang merupakan rangkaian pasar raya tempatan, di semua cawangannya.

Selain Bataras, produk IKS juga dipasarkan di semua Kedai Mesra di Sabah dan Labuan, hasil kerjasama dengan Petronas Dagangan Bhd, khususnya produk makanan.

Program ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan membantu usahawan IKS yang terjejas akibat pandemik Covid-19, katanya.

Tambahnya, Kempen Belilah Barangan Sabah merupakan salah satu inisiatif yang disenaraikan oleh Kementerian Pembangunan Perindustrian (MID) dalam pelan pembangunan Sabah Maju Jaya bagi tahun 2021.

Pihaknya mengucapkan tahniah kepada MID dan agensi di bawahnya kerana berjaya melaksanakan satu lagi inisiatif Pelan Pembangunan SMJ dengan jayanya.

Hajiji berkata, penganjuran Kempen Belilah Barangan Buatan Sabah tepat pada masanya bagi membantu merancakkan semula ekonomi domestik dan membantu usahawan IKS mempromosikan barangan buatan tempatan Sabah.

“Saya berharap kempen ini menjadi satu titik permulaan kepada usaha bersama di antara kerajaan, industri dan juga rakyat.

“Ia bagi memastikan kejayaan kita memulihkan ekonomi dapat diteruskan dengan kejayaan merancakkan semula ekonomi negeri.

“Diharap usahawan dan peniaga di Sabah tidak hanya memfokuskan perniagaan mereka dalam pasaran tempatan sahaja, sebaliknya menggunakan sepenuhnya platform e-dagang yang kini menjadi pilihan ramai,” jelasnya.

Katanya, pandemik COVID-19 menyebabkan kebanyakan komuniti perniagaan beralih kepada penggunaan teknologi digital secara meluas.

Sehubungan itu, beliau yakin barangan buatan Sabah mempunyai potensi dan kualiti untuk bersaing dengan produk dari luar negara.

Dalam pada itu, Hajiji berharap berharap 12 syarikat dari Sabah yang menyertai World Dubai Expo 2020 pada Disember lalu, dapat menyebarluaskan lagi perniagaan mereka di peringkat antarabangsa.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top