Empat Keluarga Rai Krismas Di Rumah Baharu

membakut-rumah-baru.jpg
Kongsi Bersama

MEMBAKUT: Empat keluarga di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Membakut disini bakal meraikan perayaan Hari Krismas di rumah baharu selepas rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) siap baru-baru ini.

Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Mohd Arifin Arif berkata, penyerahan replika kunci itu membolehkan penerima menyambut sambutan Hari Krismas dengan lebih selesa di rumah baharu.

“Pada tahun ini, empat keluarga di DUN Membakut akan meraikan hari Krismas di rumah baharu yang lebih selesa.

“Keluarga yang terlibat menerima bantuan rumah baharu ini adalah di Kampung Sungai Damit, Kampung Bawan, Kampung Lumat dan Kampung Dungau,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra dan Penyampaian Sumbangan Krismas 2021 di Dewan Terbuka Pekan Membakut di sini kelmarin.

Sementara itu, anak ketiga kepada penerima bantuan rumah PPRT, Ratna Kinsuin di Kampung Dungau iaitu Franky Lazim ketika dikunjungi rombongan Arifin menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih atas peruntukan berkenaan.

Beliau berharap, kerajaan akan meneruskan usaha murni dalam membantu golongan miskin untuk mendapatkan rumah kediaman.

Terdahulu, Mohd Arifin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut berkata, sebanyak RM42.9 juta telah diperuntukkan kerajaan negeri bagi tujuan penyaluran bantuan  kepada sekolah dan badan keagamaan bukan Islam di negeri ini pada tahun ini.

Katanya, ia merupakan satu usaha serta keprihatinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

“Ini adalah keprihatinan Ketua Menteri Sabah yang telah menyalurkan peruntukan kepada rumah-rumah ibadat bukan Islam dan sekolah mubaligh di negeri ini,” katanya.

Pada majlis tersebut, Mohd Arifin menyampaikan hadiah bagi pemenang pertandingan perhiasan pokok krismas, di samping sumbangan Krismas kepada gereja-gereja serta Komuniti Kristian Dasar (KKD).


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top