KUALA LUMPUR: Empat ahli jemaah Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat selesai mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara pagi ini.
Mereka ialah Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (Kementerian Dalam Negeri), Tengku Datuk Seri Mohd Zafrul Tengku Abdul Aziz yang memegang portfolio Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), , Datuk Seri Zambry Abdul Kadir (Kementerian Luar), dan Datuk Mohd Na’im Mokhtar (Menteri Agama).
Yang di-Pertua Dewan Negara Tan Sri Rais Yatim berkata, Tengku Zafrul merupakan lantikan kali kedua, manakala yang lainnya adalah lantikan kali pertama.
Dalam ucapannya, Rais menggesa agar keempat-empat mereka tidak melupakan institusi senat dalam melaksanakan tugas sebagai menteri.
“Kini syarat bawah Perkara 43B Perlembagaan Persekutuan sudah disempurnakan, iaitu untuk menjadi seorang Menteri, beliau hendaklah menjadi ahli Dewan Rakyat atau Dewan Negara.
“Satu satu hal yang baik bagi kita di peringkat ini ialah para Senator sebagai Menteri atau Timbalan adalah juara terbaik bagi membela dan menegapkan Institusi Senat sebagai badan legislatif tertinggi negara.
“Boleh saya kata dan buat membuat seruan rapat, tengok-tengoklah kami di sini, di samping dimandikan cahaya media di luar sana,” katanya lagi.
Selain itu Rais turut mengingatkan tentang usaha mereformasi institusi Parlimen yang kini telah berjalan selama hampir setahun setengah.
“Mari kita perkasakan kembali reformasi institusi Parlimen yang diusahakan setakat ini, dan makan masa hampir setahun setengah.
“Dua akta penting diutamakan pindaannya ialah Akta Perkhidmatan Parlimen 1963, dan Akta Kuasa Keistimewaan Majlis Parlimen 1952.
“Anjuran dan cadangan yang konkrit telah dikemukan, dan kertas Kabinet telah disediakan sebelum Parlimen ditangguhkan kewujudan dan kuat kuasanya tempoh hari,” katanya lagi.
Rais turut mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri ke-10 Datuk Seri Anwar Ibrahim, di samping tidak lupa menzahirkan penghargaan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas khidmat baktinya sebagai Perdana Menteri ke-9.
Berita asal: AWANI