TELUPID: Program Khas Pengukuran Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) bagi menyelesaikan kerja-kerja pengukuran tanah adat negeri (NCR) akan dilaksanakan di empat kampung di Telupid, pada Oktober dan Disember ini.
Kampung berkenaan adalah Kampung Woinod dan Kampung Bauto yang dijangka dimulakan pada Oktober ini manakala Kampung Buis dan Kampung Ansuan dijangka pada Disember.
Susulan pelaksanaan program PANTAS itu, penduduk turut meluahkan rasa gembira kerana geran tanah itu telah dinanti-nantikan oleh mereka sejak bertahun-tahun.
Mereka mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas kelulusan bagi program PANTAS itu dan usaha membantu penduduk mendapat geran tanah yang telah lama mereka nantikan
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telupid, Datuk Jonnybone J Kurum meminta penduduk di empat buah kampung yang terlibat dengan program PANTAS di Telupi untuk memberikan kerjasama untuk memastikan ia dilaksanakan dengan lancar dan teratur.
Katanya, difahamkan, urusan bagi pelaksanaan PANTAS di kampung tersebut akan dilaksanakan pegawai terlibat selama enam bulan.
“Kita juga berharap penduduk yang bakal menerima geran tanah melalui PANTAS ini kelak tidak akan menjual tanah mereka sebaliknya menjaga ia dengan sebaiknya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media sejurus menghadiri Taklimat PANTAS di bersama penduduk terlibat di sini. – NABALU NEWS